utama

6 juta tikus 'kuasai' Paris

Paris: Semuanya bermula dengan rakaman video tahun lalu di tebing Sungai Seine, antara Musee d’Orsay dan jambatan Pont Royal yang mendedahkan masalah tikus di ibu kota Perancis.

Video itu menjadi tular di seluruh dunia sejak dipaparkan akhbar harian Le Parisien, menunjukkan pengutip sampah yang terkejut apabila menemui beratus tikus kelaparan mengerumuni bahagian bawah tong sampah.

Rakaman itu mencetuskan kontroversi berhubung pertumbuhan pantas populasi tikus di ibu kota terkenal ini dan keadaan tempat kerja menyedihkan pengutip sampah.

Dilaporkan populasi tikus antara empat dan enam juta ekor di sini, menurut sumber berbeza.

“Namun realitinya, mustahil untuk mengetahui dengan dekat berapa banyak haiwan perosak itu.

“Angkanya tidak menentu, bergantung kepada jumlah makanan yang ada dan bagaimana tikus hidup,” kata Georges Salines, yang mengetuai perkhidmatan kesihatan alam sekitar ibu kota ini.

Katanya, tikus adalah haiwan yang rumit dari segi sosial dan boleh menstabilkan populasi mereka, justeru adalah salah bercakap mengenai kadar pertumbuhan makhluk perosak itu.

“Walaupun ia ditakuti, populasi mereka kekal stabil,” kata Salines.

Namun, selama beberapa bulan ini, pada awal pagi atau sebaik malam berlabuh, bersendirian atau dalam kumpulan kecil, tikus seolah-olah lebih bebas dan tidak takut.

Haiwan itu meninggalkan sarang untuk mencari makanan, kadang kala di hadapan orang lalu lalang.

Tikus berkumpul di sekitar tong sampah, kawasan berumput di taman bandar dan berlegar di sekitar Champs-Elyses serta jalanan di mana pasar terbuka diadakan. - Agensi

Disiarkan pada: February 26, 2018 @ 11:01am
d