utama

Rossi cilik pukau pengunjung

Oleh Helmy Abd Rahman dan Zaid Salim

Kuala Nerus: Usianya baru enam tahun namun nama Qabil Irfan Azlan kini harum dan meniti di bibir peminat sukan permotoran selepas menundukkan pelumba lain yang lebih tua daripadanya dalam beberapa kejohanan motosikal mini di seluruh negara.

Lebih mengagumkan, rider cilik itu mengambil masa tiga bulan untuk berlatih sebelum menyertai pertandingan lumba motosikal mini pertamanya sekitar empat tahun lalu.

Menurut bapanya, Azlan Abd Rahman, 42, Qabil Irfan yang juga dikenali Valentino Rossi Jr memenangi banyak kejohanan antaranya di USJ, Subang Jaya dalam kategori bawah 17 tahun dan bawah lapan tahun.

“Memang dia berbakat besar dan ia anugerah semula jadi.

“Walaupun bekas pelumba cub prix, saya tidak pernah memaksa Qabil meminati motosikal, jauh sekali mendorongnya menjadi seorang pelumba, namun pada usia dua tahun dia sudah menunjukkan minat mendalam terhadap sukan permotoran.

“Saya sendiri hairan dengan keberanian dan bakat semula jadinya malah menguasai teknik diajar dalam tempoh singkat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kedai Koperasi Permotoran Terengganu Darul Iman Bhd di Ekspo Terengganu 2018 di sini, semalam.

Qabil Irfan yang dilantik sebagai Ikon Permotoran Terengganu sempat mempamerkan aksinya menunggang motosikal mini dengan disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyempurnakan majlis itu.

Sementara itu, Rozi berkata, kedai koperasi permotoran berkenaan memberi peluang kepada anak muda membeli peralatan dan alat ganti motosikal pada harga berpatutan terutama kepada yang berminat dengan sukan permotoran.

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 6:20am
d