utama

TNI jumpa MT Pratama 128

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KAPAL tangki MT Pratama 128 yang dilaporkan hilang sudah dijumpai di Perairan Pulau Rupat, Dumai oleh Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL), tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati kapal berkenaan dilarikan kru kapal itu sendiri.

"Kerjasama dengan pasukan TNI-AL berjaya menemui semula kapal berkenaan dan kini APMM dalam proses rundingan untuk membawa pulang kapal terbabit.

"Setakat ini siasatan mendapati tiada unsur rompakan dan pelanunan dalam insiden ini," katanya.

Zulkifli berkata, kapal terbabit diletakkan di batas pelabuhan berhampiran perairan Tanjung Piai.

"Kapal itu diawasi dengan radar dan rondaan daripada pengawal, namun kami percaya krew terbabit mengambil kesempatan ketika pengawal rondaan pulang ke jeti.

"APMM akan terus bekerjasama dengan TNI-AL untuk menyiasat tujuan kapal itu dilarikan," katanya.

Terdahulu, kapal tangki MT Pratama 128 yang dalam tahanan APMM dilaporkan hilang kelmarin.

Kapal terbabit ditahan oleh APMM atas kesalahan mengikut Ordinan Kapal Dagang (MSO) 1952.

Berita berkaitan:

Kapal MT Pratama 128 hilang

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 3:23pm
d