utama

[UPDATE] Gas bocor, bukan letupan [METROTV]

Oleh Safeek Affendy Razali

TIGA pekerja penyelenggara sistem janakuasa di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, nyaris maut selepas terhidu gas karbon dioksida selama lebih 10 minit.

Bagaimanapun tindakan pantas pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, yang mengeluarkan mereka dari bilik janakuasa di tingkat bawah menara berkenaan berjaya menyelamatkan mereka.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 3.52 petang tadi.

"Pihak bomba yang tiba kurang 10 minit kemudian bergegas membuka pintu bilik janakuasa itu dan mengeluarkan mangsa yang sudah terbaring.

"Seorang daripada mereka didapati mengalami kecederaan pada kepala selepas terhantuk pada komponen atau objek keras dalam bilik berkenaan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau berkata ketiga-tiga mereka kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati ketiga-tiga penyelenggara terbabit dalam proses membawa keluar set janakuasa lama dari bilik berkenaan.

"Pada masa sama kita percaya kemungkinan berlakunya kecuaian apabila kabel kemudi silinder dalam bilik berkenaan diusik hingga menyebabkan gas karbon dioksida (co2) menarik oksigen dalam bilik janakuasa itu," katanya.

Khirudin turut memuji tindakan seorang pekerja lain yang turut berada di luar bilik janakuasa bertindak pantas menghubungi pihak Bomba apabila melihat tiga penyelenggara itu pengsan.

Katanya, pada masa ini lokasi kejadian berada dalam keadaan terkawal selepas pihak pengurusan menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Mangsa yang tercedera dikenali sebagai Fong Loon Loy, 54; Ng Yoke Mun, 58 dan Ng Yoke Chee, 64.

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 6:57pm
d