utama

'Saya reda'

Oleh Najiy Jefri

Bertunang adalah tempoh yang penuh cabaran. Kadangkala perkara kecil boleh menyebabkan ikatan yang terjalin terlerai begitu saja.

Barangkali inilah dugaan yang terpaksa ditempuh Elfira Loy dan Sufian Suhaimi apabila bahagia yang disulam berakhir dengan perpisahan.

Andai tidak terlerai ikatan pertunangan pada 18 Februari lalu, mereka bakal mendirikan rumah tangga yang pastinya menjadi impian kedua-duanya sepanjang bercinta.

Namun, siapa sangka hasrat Elfira untuk hidup bersama Sufian dan melayari pelbagai keindahan berkecai. Cinta yang dipupuk bak Romeo dan Juliet itu kini hanya tersimpan dalam lipatan kenangan.

Bertemu Elfira di festival GegaRia di Kuantan, Pahang Ahad lalu, dia kelihatan tenang dan matang menyembunyikan gejolak rasa kecewa.

Pemilik nama sebenar Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 24, itu menyifatkan epilog cinta tidak kesampaian sebagai satu proses kehidupan dan dia reda dengan ketentuan Ilahi.

“Saya terima ketentuan ini dan reda dengan segala yang terjadi. Ikatan pertunangan ialah satu proses mengenali, bukan hanya antara saya dan Sufian, tetapi juga ahli keluarga.

“Jadi, keputusan ini diambil bagi menenangkan hati semua pihak. Lagipun, kami berdua sedia maklum andai ada di antara kami tidak selesa, perlu ambil kira perkara yang timbul,” katanya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Sufian, Elfira berkata, dia dan Sufian masih baik dan saling berkomunikasi.

“Kami masih berhubung malah saya juga kerap bertanya keadaannya selepas apa yang berlaku. Hubungan kami baik cuma mungkin tiada jodoh.

“Kami tidak pernah bergaduh atau menyimpan dendam, cuma kami perlu terima hakikat Tuhan sudah tentukan ‘jodoh’ kami hanya setakat ini.

Menganggap perpisahan sebagai memori terindah yang menghiasi hidupnya, Elfira turut menjelaskan tidak pernah rasa kesal dalam hatinya.

“Apa yang terjadi saya lihat sebagai memori terbaik dan tidak pernah menyesal kerana sudah tertulis inilah rezeki dan kebahagiaan yang diatur.

“Kalau saya lihat perpisahan ini menyakitkan, anda akan lihat saya dalam keadaan tidak tenang. Percayalah, saya reda dengan apa yang sudah ditentukan Ilahi.

“Lagipun, kenangan mengenali Sufian dan sempat bergelar tunangnya cukup indah. Saya tidak akan melupakannya,” kata Elfira.

Meski ramai bersimpati, Elfira turut dikecam netizen yang menganggap ibunya menjadi punca perpisahan dan mengongkong hidupnya.

Elfira bagaimanapun menegaskan punca perpisahan biarlah hanya keluarga kedua-dua pihak yang tahu.

“Saya akui tidak dapat menahan orang ramai daripada terus bercakap. Namun, pihak yang tahu perkara sebenar hanyalah keluarga kami.

“Jadi janganlah buat spekulasi bukan-bukan. Tak ada faedah pun buat andaian kerana ia perihal keluarga saya dan Sufian,” katanya.

Single Sufian

Sebelum menutup perbualan, Elfira ditanya mengenai hasrat Sufian menghasilkan single Di Matamu yang dikatakan ada kaitan dengan insiden terbabit.

Elfira tenang berkata, dia tidak melihat perkara itu sebagai isu besar.

“Saya ada berhubung dengannya dan bertanya mengenai perkara ini. Bagaimanapun, lagu itu tiada kena-mengena pun dengan kami.

“Kata Sufian, lagu terbabit sudah dihasilkan sebelum kami bertunang. Jadi, apa yang dia maksudkan adalah perasaan yang dirasai ketika ini akan dijiwai dalam lagu berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2018 @ 5:38am
d