utama

'Mereka ni bukan Taj, Osh'

Oleh Michelle Gun dan Najiy Jefri

PELAKON dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari mendedahkan gambar dua lelaki didakwa individu sebenar meletakkan dadah dalam minumannya.

Farid turut menafikan dua artis yang tampil memberi keterangan berhubung kes dadah sebelum ini bukan individu sebenar yang digambarkannya kepada polis.

"Sebenarnya bukan penyanyi Taj dan Osh yang menganiaya saya malam itu. Saya kecewa apabila individu lain datang membantu siasatan polis," katanya dalam sidang media, hari ini.

Dakwa Farid, individu sebenar yang datang kepadanya pada hari kejadian adalah pengurus artis serta penyanyi yang memperkenalkan diri sebagai Taj dan Osh.

"Sudah lama saya tidak bertemu dengan dua lelaki itu dan tiba-tiba mereka ajak jumpa dengan alasan mahu berbincang urusan penting.

"Selepas berjumpa mereka, saya tidak sedarkan diri," katanya.

Pengarah itu menjelaskan bertindak berkongsi gambar dua lelaki itu kepada media dan orang awam kerana mahu mendedahkan individu sebenar di sebalik pertuduhan dia terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Pada sidang media itu, Farid turt menjelaskan mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selama tiga hari untuk menjalani proses pemulihan.

"Selain itu, badan saya didapati kekurangan air dan berat turun dengan drastik selepas dibebaskan dari tahanan," katanya menafikan mengeluarkan kenyataan rasmi menghidap masalah mental.

Farid berharap penjelasan mengenai beberapa kontroversi membabitkan dirinya pada sidang media itu dapat membersihkan imejnya.

Pada 31 Januari lalu, Farid mengadu bahawa tiga rakan artis memasukkan dadah ke dalam minuman tanpa pengetahuannya yang menjadi punca dia bertindak ganas ketika di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari.

Dalam kejadian itu, Farid didakwa menampar anggota polis trafik serta orang awam yang membawanya ke balai berkenaan.

Disiarkan pada: February 28, 2018 @ 6:26pm
d