utama

Terpaksa tolak tawaran berlakon

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Mencipta nama sebagai usahawan kosmetik membuka peluang kepada Nur Sajat untuk terbabit secara langsung dalam bidang hiburan.

Pernah muncul dalam filem Ophilia pada 2014, baru-baru ini Sajat menerima satu lagi tawaran berlakon, namun terpaksa menolak.

Menurut Sajat, dia terpaksa menolak tawaran itu kerana ada komitmen lain membabitkan perniagaannya.

“Memang saya minat dalam bidang seni, tetapi perniagaan tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Sajat berkata, tawaran berlakon filem yang diterimanya baru-baru ini sepatutnya dia bergandingan Datuk Awie.

“Watak dalam filem berjudul Operasi X itu ialah sebagai wanita yang menjadi pembantu kepada watak lakonan Awie,” katanya.

Ditanya sama ada dia menyesal menolak tawaran itu, Sajat berkata, akan ada rezeki lain buatnya.

“Bukanlah tidak menyesal atau apa, tetapi saya anggap ini bukan rezeki. Insya-Allah, kalau ada tawaran lakonan lain selepas ini, saya akan terima,” katanya.

Cukup dikenali kerana pelbagai isu tular membabitkannya, Sajat menolak kenyataan dia sengaja mencari publisiti dan mengejar glamor.

“Kalau betul-betul saya mengejar glamor dan populariti, baik saya betul-betul buat waktu zaman berlakon Ophilia lagi, tapi saya bukan jenis begitu,” katanya.

Selain lakonan, Sajat juga akan hadir dengan single keduanya berjudul Makhluk Penggoda.

“Alhamdulillah, sekarang, saya sudah siapkan ‘teaser’ untuk mempromosikan single itu. Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, ia akan dilancarkan bulan ini atau April nanti,” katanya yang juga dalam perancangan menghasilkan video muzik lagu itu.

Dalam perkembangan lain, Sajat kini muncul dalam satu program realiti berjudul Nur Sajat Rated Xtra.

“Ia sudah ditayangkan di laman penstriman online Tonton bermula 28 Februari. Ini satu lagi rezeki buat saya dan keluarga,” katanya.

Program realiti itu akan memaparkan mengenai kehidupan seharian Sajat sebagai ibu dan usahawan. Nur Sajat Rated Xtra akan bersiaran dua kali dalam seminggu di laman web berkenaan.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 5:33am
d