utama

'Tuhan nak tegur saya'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Mengikut perancangan, tarikh 23 Mac ini sepatutnya menjadi detik bersejarah buat penyanyi Sufian Suhaimi apabila dia bakal bernikah dengan pelakon Elfira Loy.

Namun, bukan jodoh mereka untuk melangkah ke jenjang perkahwinan selepas ikatan pertunangan pada 6 Oktober lalu terlerai 18 Februari lalu.

Kini semuanya tinggal kenangan dan apa yang pernah dilalui Sufian menjadi detik indah dalam hidupnya.

Bagi Sufian, 26, apa yang berlaku juga adalah tanda peringatan Allah untuknya atas apa jua kesalahan dan kekhilafan dilakukan sebelum ini.

“Perkara ini berlaku bukan hasil perbincangan antara saya dan El (Elfira) saja, tetapi melalui perbincangan kedua-dua keluarga. Saya selalu ingatkan diri, perkahwinan bukan membabitkan dua individu tapi dua keluarga.

“Walaupun berat untuk kami menerima keputusan yang sudah dibincangkan, kami percaya ketentuan Allah itu berhikmah. Bagi diri saya, mungkin ini antara cara Allah menegur saya untuk kesilapan yang pernah dibuat sebelum ini. Mungkin Allah nak berikan sesuatu yang lebih baik kepada saya untuk masa akan datang,” katanya.

Sufian yang popular menerusi lagu Terakhir berkata, episod putus tunang sedikit sebanyak meninggalkan kesan dalam dirinya terutama emosi.

Namun, Sufian yang berasal dari Muar, Johor tidak mahu membiarkan diri dibelenggu masalah itu sehingga mengganggu rutin harian dan kerjaya seninya.

“Seperti pasangan bertunang lain, masing-masing ada ujian dan dugaan tersendiri. Kami juga tidak terkecuali. Namun, saya sangat bersyukur pada waktu itu mempunyai pasangan yang sangat matang yang sentiasa cuba menyelesaikan masalah.

“Jadi, apabila putus tunang ini berlaku di luar jangkaan, pastinya ia sangat emosi bagi saya dan mengusik perasaan. Memang sedih dan air mata pun jatuh juga. Namun, saya bertuah kerana dikelilingi orang yang ambil berat mengenai saya seperti keluarga, kawan dan peminat.

“Mereka inilah membuatkan saya lebih kuat. Saya reda, tenang dan terima apa yang berlaku ini dengan hati terbuka,” katanya.

Sufian akui selepas putus tunang dia selesa berdiam diri kerana enggan mengeruhkan lagi keadaan.

“Apabila perkara ini terjadi, saya ambil pendekatan untuk berdiam diri. Bukan nak mengelak daripada sesiapa, tetapi menghormati kedua-dua keluarga.

“Saya nak mereka bertenang dulu dan selepas dapat kekuatan semula baru saya bersuara dan berikan komen. Memandangkan saya seorang pemuzik, jadi sentiasa salurkan perasaan itu dalam bentuk muzik. Ini antara cara untuk saya berkongsi kepada peminat apa yang saya rasa,” katanya.

Pada masa sama, Sufian mengingatkan peminat atau netizen putus tunang yang dilalui bukan perkara yang boleh dibuat main-main atau dijadikan bahan jenaka.

Sufian sedar apa yang menimpa dirinya dengan El mengundang pelbagai reaksi netizen dengan melemparkan kata-kata sinis.

“Saya faham manusia di luar sana ada banyak lagi ujian lebih besar daripada saya. Tetapi, bagi saya pertunangan ini adalah fasa berbeza daripada bercinta. Apatah lagi saya sudah bersedia untuk berkahwin.

“Namun hubungan ini berakhir di sini. Ia bukan sesuatu yang mudah dilalui dan pada masa sama, bukan juga sesuatu yang teruk atau masalah besar. Bagaimanapun, perkara ini tidak boleh dipermainkan atau dijadikan bahan jenaka,” katanya.

Wujud orang ketiga?

Pastinya juga, apa yang berlaku menimbulkan banyak spekulasi termasuk Sufian dikatakan menjalin hubungan dengan orang lain sehingga memaksa keluarga Elfira nekad memutuskan ikatan pertunangan.

“Banyak spekulasi yang timbul malah sebelum hubungan ini berakhir lagi, tetapi apa yang saya boleh katakan, keluarga kami dan Allah saja tahu.

“Bagi saya, jika kita tidak dapat menjernihkan keadaan, janganlah kita tambah kekeruhan itu. Dalam perkara ini, banyak hati saya perlu jaga agar tidak mengguris mana-mana pihak. Itu saya cuba buat.

“Kalau boleh permasalahan yang timbul saya nak kunci rapat. Cukup orang tahu hubungan ini sudah berakhir dan hubungan saya dengan El baik-baik saja,” katanya.

Walaupun melalui satu fasa duka, Sufian beruntung apabila masih disayangi banyak pihak. Ucapan dan kata-kata motivasi diberikan membuatkan dirinya lebih bersemangat.

“Banyak kata-kata semangat yang diterima daripada peminat, rakan artis dan media. Saya tidak pernah jangka disayangi sebegini rupa.

“Saya percaya mereka bukan saja nak lihat saya jadi lebih baik tetapi nak perkara sama buat El. Terima kasih dan hanya Allah dapat membalas jasa kalian,” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 5:51am
d