utama

Bina semula semangat

Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman yang cedera dalam tragedi bilah traktor mesin rumput pada 13 Februari lalu, semakin beransur pulih biarpun masih trauma dengan kejadian itu.

Abdullah Hazlan, 14, yang cedera di leher dan telinga kanan masih dalam cuti sakit sehingga keadaan kesihatannya kembali pulih untuk kembali menyambung persekolahan seperti biasa.

Bapanya, Hazlan Harun, 51, berkata, anaknya kini tidak perlu ke Klinik Kesihatan Gemas setiap hari, sebaliknya hanya datang mengikut tarikh ditetapkan pegawai perubatan di klinik itu untuk rawatan susulan.

“Jahitan pada luka di leher dan telinga sebelah kanan sudah dibuka serta hanya menyapu krim yang diberikan hospital.

“Kadang-kadang Abdullah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk temu janji dengan doktor pakar.

“Sejak seminggu lalu, Abdullah juga ada mengambil ubat penenang bagi memulihkan kembali semangat serta membina sel-sel dalaman yang terganggu akibat kejadian itu,” katanya.

Menurut Hazlan, anaknya turut menjalani kaunseling dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang datang ke rumah dan keluarganya bersyukur kerana tahap kesihatannya kini beransur pulih.

“Bagaimanapun, buat masa ini pakar kaunseling mengehadkan pergaulan termasuk rakan sekolah supaya perasaannya tidak terganggu.

“Sebagai bapa, saya dan keluarga turut sama-sama membantu memberi semangat kepada Abdullah untuk meningkatkan tahap keyakinan dirinya.

“Namun, sebagai orang Islam, kita perlu ingat apa yang berlaku adalah ketentuan Allah dan kita perlu reda,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Hazlan, kadang-kadang dia melihat Abdullah termenung sendirian, mungkin teringat tragedi yang meragut nyawa rakannya itu kerana ia berlaku di depan matanya.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, Nur Afini Roslan, 14, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kepalanya cedera parah terkena bilah mesin pemotong rumput berkenaan.

Selain Abdullah, seorang lagi pelajar cedera ialah Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 7:20am
d