utama

Jangan ulang isu sensitif

Oleh Norhayati Nordin

TINDAKAN mengakui kesilapan dan memohon maaf oleh pengacara popular, Neelofa, 29, atas kekhilafan dirinya dianggap langkah tepat oleh rakan selebriti tanah air.

Bagi pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 42, dan Amyra Rosli, 27, ia satu tindakan baik diambil pelakon jelita itu dan pihak pengurusannya.

Rita dihubungi berkata kalau orang sudah meminta maaf, terima sajalah kemaafan itu. Ia lebih bagus.

"Cuma, diharapkan semoga dia (Lofa) tidak ulangi lagi kesilapan yang sama itu pada masa akan datang.

"Tiada insan yang sempurna dan semua orang ada melakukan kesilapan, tetapi bila kemaafan yang dipinta, maafkanlah," katanya.

Anak jati Perlis ini berkata apa yang berlaku adalah perkara sangat sensitif apabila membabitkan pemakaian tudung dan agama.

Amyra pula berkata dengan kemaafan ikhlas yang dipinta Neelofa itu diharapkan semua spekulasi yang timbul berakhir.

"Mengaku silap dan memohon maaf, bagi saya tindakan tepat dilakukan Neelofa. Jadi, dia wajar dimaafkan.

"Hendak dipanjangkan cerita pun, perkara sudah berlaku. Nak cakap lebih-lebih, hanya Neelofa yang tahu dan dia pasti ada alasan tersendiri," katanya.

Pelakon drama Jodoh ini berkata dengan kemaafan dipinta itu, dia melihat isu yang timbul dan hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu sudah berakhir.

Terdahulu, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor mencetuskan kontroversi apabila mengadakan pelancaran koleksi tudung terbaru Naelofar Hijab, Be Lofa di pusat hiburan baru-baru ini.

Ekoran insiden itu, Neelofa dikecam teruk oleh netizen di laman sosial dan dia juga menerima surat terbuka daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 4:15pm
d