utama

Tetamu pun, bukan Neelofa saja...

Oleh Murni Wan Omar

BUKAN sahaja pelakon dan pengacara popular, Neelofa yang boleh didakwa mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997), malah mereka yang berada di dalam majlis pelancaran tudung itu juga boleh berdepan dengan tindakan sama.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, Neelofa dan mereka yang terbabit di dalam majlis itu boleh didakwa mengikut Seksyen 7 akta itu.

“Dia dan mereka yang lain boleh didakwa kerana menyebabkan agama Islam dipandang hina. Bukan saja Neelofa, tetapi mereka yang terbabit dalam majlis itu kerana menampakkan seolah-olah Islam dipandang hina apabila melancarkan simbol kepada penganut agama Islam (bertudung) dengan acara tarian dan berdansa dalam keadaan bertudung.

“Perkara yang baik dan kewajipan dalam agama tetapi dibawa masuk ke tempat yang berunsur maksiat,” katanya yang mengulas berhubung kontroversi majlis pelancaran koleksi Naelofar Hijab, Be Lofa yang berlangsung di pusat hiburan di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Bagaimanapun, Musa berkata, Seksyen 7 (a) meletakkan beban pembuktian yang kuat kepada pihak pendakwaan kerana peruntukkan itu terlalu subjektif, dan ia perlu dibuktikan sejauh mana perlakuan Neelofa atau penganjur itu dikatakan sebagai menghina agama Islam.

“Pandangan peribadi saya, dengan mendakwa Neelofa akan mengeruhkan lagi keadaan. Penganjur sudah membuat permohonan maaf secara terbuka. Neelofa juga sudah buat perkara yang sama.

“Kecaman yang diterima daripada masyarakat sepatutnya dijadikan pengajaran kepada Neelofa dan pihak lain yang bercadang mahu membuat perkara sama selepas ini.

“Alhamdulillah masyarakat kita masih prihatin dan masih tahu membezakan mana yang baik dan mana yg buruk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997), mana-mana orang secara lisan, bertulis atau dengan gambaran yang tampak atau sebarang cara lain menghina agama Islam atau menyebabkan ia dipandang hina; mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; adalah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan:

Hentam, kecam terus berdesup...

Pengajaran bermakna, saya minta maaf...

'Minta maaf ok' kata otai

Jangan ulang isu sensitif

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 8:06pm
d