utama

'Tambat hati penonton satu kemenangan'

Oleh Norhayati Nordin

Walaupun nama dan bakat lakonannya semakin jadi perhatian, Syafiq Kyle, 26, tidak mahu terlalu memikirkan soal menang anugerah.

Baginya, apa yang penting lakonan yang dipersembahkan berjaya menambat hati penonton. Itu adalah kemenangan yang besar.

Menurut pelakon drama Dekatkan Jarak Kita ini, menang anugerah adalah bonus, cuma dia tidak mahu terlalu dilihat seperti mengejarnya.

“Saya sudah gembira dan bersyukur apabila mendapat maklum balas yang baik daripada penonton dan peminat. Itu cukup memadai.

“Secara tidak langsung, menunjukkan mesej dalam lakonan dipersembahkan itu sampai. Ia menjadi matlamat saya.

“Tidak hanya itu, saya juga mahu pastikan sokongan diberikan penonton dan peminat tidak berbelah bahagi. Mereka setia menyokong saya setiap masa,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Syafiq Syamim Abdul Razak ini, sokongan peminat sangat diutamakan.

Katanya, daripada sokongan itulah dijadikan pembakar semangat untuk terus bertahan.

Berbicara mengenai cara layanannya terhadap peminat, Syafiq berkata, dia lebih selesa menggunakan aplikasi Twitter sebagai medium berinteraksi.

“Walaupun ada pelbagai platform media sosial lain, pilihan saya adalah Twitter. Saya lebih selesa. Saya suka gunakan Twitter sebagai medium berinteraksi dengan peminat kerana maklum balas yang pantas.

“Apatah lagi, apabila saya berkongsi mengenai produk lakonan dan komen daripada peminat pun banyak. Ia menyeronokkan,” katanya.

Menurut Syafiq, kemudahan media sosial juga dilihat amat membantu kelancaran karier seninya.

Sangat melonjak dalam karier lakonannya sejak tahun lalu, Shafiq juga disebut-sebut sebagai pelakon paling menyerlah masa kini.

Sehubungan itu, Syafiq bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu karier seninya.

Untuk permulaan 2018 ini, Syafiq dicalonkan untuk tiga kategori iaitu Pelakon MeleTop, Fesyen MeleTop dan Drama MeleTop di Anugerah MeleTop Era 2018 (AME 2018).

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 4:54am
d