utama

Tumbukan hilang gigi

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Sungai Buloh: Seorang lelaki hilang beberapa gigi selepas ditumbuk penunggang motosikal selepas menuduh mangsa sengaja melanggarnya.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai John, 32, berkata, dia diserang suspek berhampiran stesen minyak di Kampung Desa Aman di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi, mangsa turut cedera di mulut dan hidung akibat ditumbuk penunggang motosikal terbabit.

Ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke tempat kerja di Damansara, Petaling Jaya, sebelum motosikal ditunggang lelaki itu tiba-tiba berhenti mengejut di hadapan kereta dipandu.

Dia yang panik dengan tindakan lelaki itu sempat menekan brek.

“Bagaimanapun kereta saya melanggar sedikit motosikal mangsa menyebabkan lelaki itu meminta ganti rugi kononnya saya sengaja merempuhnya.

“Namun saya enggan dengan permintaan lelaki itu dan mempersoalkan tindakannya memberhentikan motosikal secara mendadak,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu berang lalu menumbuk mukanya.

“Kejadian itu turut menyebabkan beberapa gigi saya patah akibat ditumbuk. Saya mengesyaki lelaki itu sengaja memberhentikan motosikal secara tiba-tiba supaya saya melanggarnya untuk menuntut pampasan.

“Saya buat keputusan memuat naik status berhubung kejadian itu di akaun Facebook semalam kerana mahu orang ramai berhati-hati,” katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 6:06am
d