utama

Luluh hati ayah [METROTV]

Oleh Ernalisa Othman

“MAK bila kita nak pindah rumah baru, kakak takut keretapi jatuh hempap kita," demikian rintihan anak kecil Kamariah Md Nor, 10 yang terpaksa tinggal di bawah jambatan laluan keretapi sejak kira-kira 10 tahun lalu ekoran kedaifan yang dialami kedua orang tuanya.

Selekoh bawah jambatan dekat Taman Impian Emas, Skudai, menjadi saksi kedaifan hidup sebuah keluarga Md Nor Khalid, 52, bersama isteri, Norazlin Mohamed Nor, 43, dan dua lagi anak mereka selain Kamariah iaitu Nor Mohamad, 9 dan Nor Mohammad Alishah, 7, yang menjadikan jambatan tempat mereka berteduh sejak sekian lama.

"Saya kadang kasihan anak-anak selalu cakap mereka kena ejek dengan kawan-kawan sebab tinggal rumah buruk. Bila keretapi lalu mereka adik-beradik berpeluk sebab takut keretapi tu jatuh hempap rumah. Isteri saya pun takut juga.

"Saya selalu cakap dengan anak-anak supaya sabar ini dugaan kita. Lama-lama mereka sudah lali, cuma sentiasa rasa takut bila keretapi lalu," katanya ketika di temui di kawasan mereka berteduh dekat Skudai.

Kesusahan hidup bukan sahaja menyekat alam persekolahan anaknya, namun keluarga ini cekal meneruskan kelangsungan hidup tanpa mengharapkan simpati orang ramai.

Jika ada yang sudi menghulurkan makanan dapatlah mereka menikmati makanan dengan sempurna, jika tidak, hanya nasi berlaukkan garam menjadi menu utama lima beranak ini.

Jelas Md Nor, kehidupan mereka sekeluarga menjadi lebih teruk apabila dia yang bekerja mengutip barang-barang lusuh dipatuk ular ketika mencari rezeki empat bulan lalu.

"Selepas dipatuk ular, keadaan saya jadi lagi teruk. Badan sengal-sengal, terasa bisa setiap hari, mata pun semakin lama makin pudar. Saya kasihan melihat anak sudah setahun tidak pergi sekolah. Siapa mahu tengok anak-anak tidak bersekolah? Hati bapa mana tak luluh. Saya pendam perasaan.

"Bagaimanapun saya tetap berusaha kerja, kadang-kadang saya ambil upah urut orang. Dapatlah duit belanja. Saya bersyukur ada kawan-kawan sudi tolong tetapi sampai bila? Anak-anak pun sudah faham kalau tiada lauk nanti kakak dia ceduk nasi letak garam makan dengan adik-adik dia.

"Sikit pun mereka tidak merungut, seolah-olah macam faham apa saya lalui. Sedih memang sedih tetapi ini dugaan saya," katanya.

Rumah usang yang menunggu masa menyembah bumi dilihat hanya disaluti papan-papan nipis dan mudah dimasuki air setiap kali hujan.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Md Nor Khalid di 017-9944588.

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 2:34pm
d