utama

Mengharap jasad 'pulang' [METROTV]

Oleh Amin Ridzuan Ishak

Bera: “Kami sekeluarga sudah dapat menerima hakikat yang Khairul sudah ‘pergi’ meninggalkan kami buat selama-lamanya, namun biarlah (jenazah) ditemui supaya dapat disempurnakan,” kata Selamat Omar, bapa kepada Mohd Khairul Amri seorang daripada penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370.

Selamat, 63, ketika ditemui di kediamannya di FELDA Bukit Mendi, dekat sini, berkata, mereka berpendapat peluang menemui Mohd Khairul serta 238 anak kapal serta penumpang dengan selamat adalah tipis selepas empat tahun pencarian dilakukan di lokasi pesawat berkenaan dilaporkan berakhir.

“Empat tahun menanti tetapi hingga kini belum ada penemuan kukuh, keluarga boleh menerima hakikat yang dia sudah tiada...cuma masalahnya tiada bukti, di mana bangkainya dan mayat.

“Kami berharap dapat ditemui supaya kami dapat mengebumikannya secara sempurna, saya sanggup menunggu kerana dia adalah darah daging sendiri.

“Setiap hari saya berdoa untuk kesejahteraan serta keselamatan (untuk Mohd Khairul Amri) termasuk dilancarkan pencarian supaya kami berpuas hati dan misteri kehilangan penumpang dan pesawat MH370 dapat dirungkai tanpa ada sebarang persoalan lagi timbul selepas ini,” katanya yang demam dan pergerakannya dilihat sudah agak perlahan ketika ditemui NSTP di sini, semalam berbanding sebelum ini.

Mohd Khairul Amri, 29, yang juga jurutera adalah antara 239 anak kapal serta penumpang pesawat MH370 dan dalam perjalanan ke Beijing, China dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014 bagi menjalankan tugas membaiki sebuah pesawat syarikat penerbangan di sana.

Mohd Khairul adalah anak bongsu daripada tiga beradik yang disifatkan sebagai anak yang baik, bertanggungjawab dan sering mengambil berat terhadap kesihatan mereka sekeluarga.

“Saya masih ingat lagi perbualan terakhir dengannya pada jam 8 malam sebelum Khairul ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dia minta saya jaga kesihatan dan tidak lupa mengambil ubat untuk penyakit kencing manis.

“Dia selalu ingatkan saya perkara berkenaan, saya tidak akan lupakan perbualan itu yang mungkin menjadi kenangan terakhir di antara kami berdua,” katanya.

Sementara itu, Selamat yang turut berniaga kecil-kecilan berkata, dia berpuas hati dengan pengurusan kerajaan dan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) yang memberikan maklumat setiap minggu kepada waris berhubung misi pencarian pesawat MH370.

“Kami dengar sendiri setiap perkembangannya, terima kasih kepada kerajaan kerana bersetuju meneruskan pencarian MH370 dengan melantik sebuah syarikat (Ocean Infinity Limited) baru-baru ini, ia menunjukkan kerajaan serius mahu merungkai misteri dan memuaskan hati semua pihak terutama keluarga,” katanya.

Berhubung majlis memperingati kejadian MH370 yang dianjurkan waris anak kapal dan penumpang di Publika, Kuala Lumpur hari ini, Selamat yang sudah lama mengidap penyakit kencing manis berkata, dia akan menghadirinya sekiranya keadaan kesihatannya mengizinkan.

“Kalau berpeluang hadir saya akan membawa mesej supaya semua waris bersatu dan sentiasa mendoakan kesejahteraan penumpang serta dipermudahkan pencarian...ini sahaja saya mahu sampaikan,” katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2018 @ 6:16am
d