utama

Mujur terdengar jeritan jiran

Oleh Amrullah Abdul Karim

“Saya terdengar jeritan perempuan meminta tolong dari dalam rumah yang gelap dan berkunci.

“Tanpa fikir panjang saya bersama jiran memecahkan mangga dan mengopak pintu gril dan mendapati mangsa terlentang di atas lantai sambil mengerang kesakitan."

Begitulah kata Hafizul Shamsuddin, 21, menceritakan kejadian wanita diserang angin ahmar dan terperangkap di dalam rumahnya di pangsapuri di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, kira-kira 11 malam tadi.

Hafizul berkata, mangsa dikenali sebagai Fauziah Silong Ahmad, 40-an dipercayai diserang angin ahmar ketika bersendirian di dalam rumahnya di tingkat satu pangsapuri berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang memasak di rumahnya yang terletak di tingkat dua bangunan yang sama sebelum terdengar jeritan mangsa.

"Saya bergegas turun meminta bantuan jiran mengopak pintu rumah itu.

"Kami dapati mangsa terlentang di ruang tamu rumahnya lalu kami alihkan dan meletakkannya pada kedudukan selamat sebelum menghubungi talian kecemasan 999," katanya.

Menurut Hafizul, mangsa dianggarkan seberat lebih 100 kilogram menyebabkan ia sukar bergerak.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Shamsol Majidi Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.30 malam sebelum sebuah jentera bersama EMRS bomba bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, rawatan awal diberikan kepada mangsa dan anggota bomba turut membantu mengusung mangsa turun dari tingkat satu bangunan pangsapuri itu dan diserahkan kepada pihak ambulans sebelum dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan.

Disiarkan pada: March 3, 2018 @ 11:21am
d