utama

Stesen LRT Kelana Jaya tutup sementara [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

STESEN Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya, Petaling Jaya ditutup buat sementara atas faktor keselamatan susulan hujan lebat serta angin kencang, tengah hari tadi.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan berkata, keadaan itu menyebabkan beberapa bumbung stesen diterbangkan angin.

“Tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan. Oleh kerana hujan masih lebat, pihak operasi LRT Laluan Kelana Jaya menutup stesen atas faktor keselamatan, namun perkhidmatan di stesen lain berjalan seperti biasa," katanya.

Kenyataan itu menyebut, tren dari Gombak ke Putra Heights dan sebaliknya akan melalui stesen LRT Kelana Jaya tanpa berhenti mengambil penumpang.

"Penumpang dari Gombak atau Putra Heights ke Stesen Kelana Jaya perlu turun di Stesen Taman Bahagia untuk menaiki bas perantara ke stesen berkenaan.

"Pengguna diminta mengikuti maklumat terkini menerusi saluran media sosial di Facebook dan Twitter Rapid KL untuk mendapatkan status terkini perkhidmatan LRT.

"Rapid KL memohon maaf di atas kesulitan ini. Keselamatan penumpang adalah tanggungjawab kami," katanya.

Sehingga 4 petang tadi, Stesen LRT Kelana Jaya masih ditutup kerja pembersihan dan baik pulih bumbung berkenaan.

Disiarkan pada: March 3, 2018 @ 5:56pm
d