utama

Misteri kepala wanita tanpa badan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PENDUDUK digemparkan dengan penemuan kepala wanita tanpa badan di tebing Sungai Batang Lupar di Skait, Sri Aman, hari ini.

Kepala wanita dipercayai berusia 20-an itu ditemui penduduk yang kebetulan lalu di kawasan tebing sungai berkenaan, 4.30 petang.

Sumber berkata, pada mulanya penduduk menyangka mayat wanita itu lengkap, namun selepas melihat dari dekat hanya kepala ditemui tanpa badan.

Beliau berkata, kepala itu ditemui tersangkut pada kawasan berlumpur di tebing sungai berkenaan.

"Penduduk segera menghubungi Balai Polis Sri Aman untuk tindakan selanjutnya daripada pihak berkuasa.

"Sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman dihantar ke lokasi untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal dan keadaan fizikal kepalanya, wanita terbabit dipercayai mati kurang 24 jam sebelum ditemui.

Katanya, setakat ini polis masih menyiasat sekiranya wanita terbabit menjadi mangsa perbuatan jenayah atau sebaliknya dan kepala itu dibawa ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sri Aman Deputi Superintendan Othman Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan penemuan kepala wanita terbabit.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan.

"Penduduk penduduk yang kehilangan ahli keluarga iaitu wanita berusia 20-an diminta menghubungi balai polis terdekat untuk menyalurkan maklumat lanjut," katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2018 @ 11:25pm
d