utama

'Cuba selamatkan hubungan hingga ke hari terakhir' [METROTV]

Oleh Georgie Joseph dan Sudirman Mohd Tahir

Berita penyanyi Sufian Suhaimi putus tunang dengan pelakon Elfira Loy, baru-baru ini antara yang mengejutkan industri hiburan tanah air.

Pasangan itu sepatutnya melangsungkan pernikahan hujung bulan ini, malangnya ikatan pertunangan pada 6 Oktober tahun lalu itu terlerai di tengah jalan.

Berita itu disahkan ibu Elfira, Filzah Yusoff pada 17 Februari lalu yang mengatakan hubungan mereka sudah berakhir. Ia kemudian disusuli ibu bapa Elfira memulangkan cincin pertunangan kepada ibu bapa Sufian.

Elfira yang ketika itu berada di New York, Amerika Syarikat mengambil pendekatan berdiam diri, begitu juga dengan Sufian.

Bagaimanapun, Sufian kemudian tampil bersuara dan mengakui reda dengan ketentuan itu.

Namun ramai yang masih tertanya-tanya apakah sebenarnya punca sebenar pertunangan mereka putus?

Pelbagai spekulasi timbul, namun Sufian dan Elfira enggan berkongsi dan meminta biarlah ia menjadi rahsia mereka dan keluarga mereka.

Antara spekulasi yang bertebaran di media sosial ialah mereka dikatakan tidak setaraf dan wujud orang ketiga. Ia sekali gus mencetuskan teka-teki yang masih tergantung.

Ikuti temu bual wartawan GEORGIE JOSEPH dan SUDIRMAN MOHD TAHIR bersama Sufian Suhaimi mengenai kisah hangat ini.

Terlalu banyak spekulasi mengenai pertunangan anda putus disebabkan campur tangan daripada keluarga Elfira. Mungkin Sufian boleh jelaskan perkara ini?

Saya cuba untuk menjaga nama baik semua pihak iaitu keluarga saya dan keluarga Elfira. Bagi saya, tiada ada sesiapa yang patut disalahkan dalam perkara ini. Sebagaimana ibu bapa lain, begitu juga ibu bapa kami mahukan yang terbaik untuk anak mereka.

Saya tidak mahu meneruskan sesuatu tanpa restu ibu bapa. Jika kita buat sesuatu tanpa restu ibu bapa, mungkin kebahagiaan itu hanya sementara. Itu bukan yang saya harapkan dalam perkahwinan saya nanti.

Namun kita tidak boleh nak menutup mulut orang daripada membuat sebarang spekulasi. Apa yang saya boleh katakan, saya sayangkan keluarga Elfira seperti keluarga saya sendiri terutama ibu Elfira yang pernah menjaga saya dengan baik sekali.

Perkara itu tidak mungkin saya dapat lupakan. Kepada orang di luar sana yang membuat spekulasi sendiri, cukup-cukuplah.

Sufian ada baca komen di media sosial?

Ada. Ramai yang cuba menjadi pihak pertama seolah-olah tahu apa yang berlaku. Mereka juga menokok tambah dan mereka cerita sendiri. Contohnya seperti wang hantaran, walhal perkara itu tak pernah menjadi isu pun.

Saya tidak mahu terus melatah menjawab spekulasi itu satu-persatu. Apa yang saya boleh buat adalah minta semua berhenti daripada membuat konklusi sendiri. Tolong hormati keluarga saya dan Elfira dan doakan yang baik-baik.

Ada yang mempertikaikan Sufian tidak setaraf dengan Elfira. Mereka mengatakan Elfira lebih berduit daripada anda dan mempertikaikan bagaimana anda akan menyara Elfira nanti. Ia sekali gus memberi tanggapan bahawa itu punca anda putus tunang.

Mungkin orang berfikir sedemikian berdasarkan apa yang mereka lihat. Apa mereka lihat itu pula berdasarkan apa kita tunjuk. Saya adalah seorang yang tidak suka bercerita apa yang saya ada selain daripada kerjaya.

Saya lebih selesa untuk berkongsi perihal kerjaya berbanding kehidupan peribadi.

Jika menyentuh mengenai bagaimana saya menyara Elfira dan sebagainya, kita sebagai orang yang berpegang kepada agama Islam kena percaya kepada rezeki. Kita bukan siapa-siapa untuk mempertikaikan rezeki orang.

Ini bukan perkara asing lagi di mana kita kena percaya kepada rahsia perkahwinan dan rezeki anak. Jadi, itu bukan puncanya.

Sufian percaya kewangan juga menjadi punca yang boleh mempengaruhi hubungan pasangan di luar sana?

Semestinya kewangan antara tanggungjawab utama dan tidak boleh ketepikan hal itu. Apatah lagi jika mahu membina keluarga. Nak makan pun kena ada duit.

Namun dalam hal ini pada saya kewangan bukan isu utama, tetapi ada perkara yang lebih mendalam lagi. Walaupun kita maklum ekonomi itu penting tapi itu bukan segala-galanya.

Ada banyak lagi yang perlu dititikberatkan terutama apabila ia membabitkan dua keluarga.

Ada juga spekulasi mengatakan Sufian kaki wanita? Betulkah?

Bila keluar kenyataan yang mengatakan hubungan kami goyah disebabkan orang ketiga, sudah ada macam-macam spekulasi lain timbul ketika itu. Saya dikatakan sudah pengganti lain dan Elfira juga begitu.

Itu semua tidak benar. Hanya keluarga kami dan Tuhan saja tahu apa yang berlaku.

Tidak wujud orang ketiga atau pasangan baru sepanjang tempoh pertunangan kami.

Dalam satu kenyataan ibu Elfira, dia mengatakan berharap dapat jumpa lelaki yang lebih baik dan jujur. Ia seolah-olah memberi bayangan bahawa anda tidak cukup baik dan jujur untuk anaknya.

Ibu mana yang mahu melihat anaknya tak gembira apabila membina keluarga baru? Bagi saya, apa yang dirasai ibu Elfira itu adalah normal. Seorang ibu pasti mahu yang terbaik untuk anaknya.

Tapi ia bukan alasan untuk saya bersedih sebaliknya daripada dulu hingga kini saya sentiasa mencuba jadi yang terbaik daripada semua aspek.

Terkejut tidak apabila kenyataan putus tunang itu keluar daripada mulut ibu Elfira dan bukannya daripada Elfira sendiri?

Memang agak terkejut walaupun kami sudah menjangka perkara itu berlaku. Saya sebenarnya berusaha untuk menyelamatkan hubungan itu hingga ke hari terakhir.

Apa yang saya percaya adalah selagi cincin belum dipulangkan, masih ada peluang buat saya menyelamatkan hubungan kami. Itu yang lakukan.

Secara jujurnya, sudah berapa lama hubungan kamu berdepan masalah sedangkan baru bertunang beberapa bulan?

Setiap hubungan pasti ada pasang surut. Begitu juga dengan kami. Apa yang membezakan setiap pasangan itu adalah bagaimana mereka menangani masalah itu.

Alhamdulillah, Elfira mempunyai banyak pengalaman dan memandangkan dia sudah lebih 10 tahun bergelar artis, peribadinya juga sangat matang. Kami sentiasa akan menyelesaikan setiap masalah.

Saya dan Elfira sangat optimis. Kami tidak pernah bergaduh atau bertegang urat pun. Kami sangat tenang menjaga hubungan itu dan syukur perkara itu berkesan. Tiada sebarang masalah yang berlaku sehingga membuatkan kami mahu berpisah.

Namun apabila ia membabitkan perkahwinan dan kedua-dua belah keluarga, kami perlu utamakan ibu bapa kami.

Kalau nak cakap sejak bila, bila-bila pun ada perkara yang berlaku tapi kami berjaya selesaikan, cuma kemuncaknya adalah apabila ia berakhir. Itu saja saya boleh kongsikan. Tiada perang besar pun dan semuanya selesai mengikut adat.

Pernah terfikir tak masalah ini menjadi lebih teruk akibat daripada campur tangan orang luar?

Saya tidak suka menyalahkan mana-mana pihak apabila sesuatu perkara itu sudah berlaku. Setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya dan kita janganlah cuba menyalahkan orang lain.

Saya sedia memaafkan semua pihak di luar sana termasuk netizen yang membuat macam-macam spekulasi. Saya maafkan mereka bukan kerana mereka salah tetapi disebabkan mereka tak tahu.

Dalam banyak-banyak komen, ada juga yang mengaitkan perpisahan itu disebabkan Sufian tidak hafal surah al-Mulk.

Saya harap mereka cuma bergurau. Saya melihat perkara itu secara serius. Surah al-Mulk itu antara syarat yang ibu Elfira letak dan perlu dihafal sebelum berkahwin dengan anaknya.

Sepanjang tempoh pertunangan kami sebenarnya saya dan Elfira bersama-sama hafal surah itu. Jika kami keluar bersama, kami ada satu sasaran di mana satu hari kena hafal satu ayat. Kalau tidak berjumpa, kami akan berhubung menerusi telefon. Itu bukan isunya.

Secara jujurnya, masih ada rasa sayang terhadap Elfira?

Perasaan dan kenangan itu bukan sesuatu yang mudah untuk kita buang. Macam mana pun kita cuba lupakan, ia akan tetap datang. Saya cuma boleh kata saya reda dengan apa yang berlaku. Saya okay dan hubungan kami pun masih baik.

Saya seorang yang sentimental dan saya mahu apa juga perkara menjadi sebahagian daripada hidup saya. Apabila sesuatu perkara itu sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya, bukan semudah itu untuk membuangnya.

Daripada saya buang sesuatu yang bahagia, kenapa saya tidak jadikan perkara itu sebuah alasan untuk saya tersenyum?

Mengikut perancangan, 23 Mac ini adalah tarikh perkahwinan anda. Adakah suda ada persiapan dilakukan?

Memandangkan masing-masing sibuk dengan kerjaya, belum ada persiapan dibuat untuk majlis itu. Namun itu bukan bermakna saya tak buat apa-apa untuk menjadi ketua keluarga. Sebagai individu, persiapan saya tetap berterusan menjadi lebih baik dan lelaki yang boleh menyiapkan kelengkapan untuk keluarga.

Tapi apabila hubungan itu berakhir di situ, saya tidak pernah menyesal dan menganggap perkara berkenaan menjadikan saya lebih matang.

Ibu bapa anda ada cakap apa-apa tak?

Saya selalu diingatkan keluarga Elfira terutama bapanya untuk tidak membelakangi keluarga. Saya sentiasa ingat pesannya itu dan berbuat demikian.

Selepas pelbagai isu timbul, apa yang saya boleh kongsi dengan ibu bapa, saya akan kongsi.

Tapi saya bukan mengadu sebaliknya meminta pandangan orang yang lebih tua.

Mereka tahu lebih banyak perkara dan cara menanganinya. Apa-apa juga keputusan yang dibuat, saya akan maklumkan kepada keluarga terutama ibu bapa dan alhamdulillah mereka sangat positif.

Mereka percaya kepada ketentuan Ilahi dan tenang menerima perkara ini dengan reda.

Apa yang membuatkan Sufian terus kuat dan berjuang sedangkan pada waktu begini orang lain mungkin sudah membawa diri. Apatah lagi anda tinggal sendirian di Kuala Lumpur dan jauh dari keluarga.

Tinggal seorang diri di sini bukan sesuatu yang mudah. Disebabkan saya pernah menjadi sebahagian daripada keluarga Elfira, saya rasa seolah-olah tak jauh dengan keluarga. Sebab itu saya sayangkan mereka seperti keluarga saya sendiri.

Ibu bapa saya selalu ingatkan supaya jangan salahkan Tuhan disebabkan tiada apa-apa yang berlaku di dunia ini tanpa kehendak Tuhan.

Keluarga saya sangat bersederhana dalam setiap masalah. Mereka suka untuk cuba terus bertenang dan cari jalan yang terbaik tanpa menyalahkan mana-mana pihak.

Saya sendiri sudah keluar berdikari sejak tamat persekolahan dan dalam tempoh itu mereka percaya pengalaman yang saya ada menjadikan saya matang serta rasional.

Disebabkan itu, mereka tahu setiap keputusan yang saya buat adalah terbaik bukan untuk diri-sendiri tapi semua orang di sekeliling.

Bagaimanapun, ibu bapa saya masih berhak memberi pendapat sendiri termasuklah mengenai isu ini.

Apa pengajaran yang Sufian dapat daripada apa yang berlaku ini?

Benarlah dalam Islam itu mengatakan sabar adalah separuh daripada iman. Jangan terlalu gopoh memberikan keputusan dan bertindak. Reaksi kita terhadap sesetengah perkara boleh mempengaruhi sesuatu isu.

Kalau kita tersilap langkah, ia bukan saja memburukkan diri-sendiri bahkan orang yang kita sayang.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 6:53am
d