utama

Neelofa terkilan

Oleh Najiy Jefri

“TIDAK adil bagi mana-mana pihak mempersoalkan keikhlasan saya membuat permohonan maaf,” kata pengacara dan pelakon popular Neelofa yang terkilan dengan segelintir pihak mempersoalkan keikhlasannya membuat permohonan maaf berikutan kontroversi penganjuran majlis pelancaran koleksi tudung Be Lofa dan sambutan hari jadinya yang ke-29 di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Neelofa ketika dihubungi wartawan program Melodi hari ini berkata, pihak syarikatnya NH Prima International Sdn Bhd sudah membuat permohonan maaf secara terbuka.

Malah, dia secara peribadi turut melakukan perkara sama menerusi Instagram dan memberi penjelasan secara terperinci.

“Pihak syarikat sudah membuat permohonan maaf secara terbuka. Saya juga sudah memohon maaf kerana menimbulkan nilai-nilai sentimen berikutan majlis yang saya buat. Saya juga sudah menjelaskan satu-persatu di Instagram mengenai perkara itu,” katanya.

Neelofa berkata, dia enggan memanjangkan isu berkenaan kerana sedar, dalam keadaan sekarang, ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri.

“Saya tidak mahu panjangkan isu ini. Saya tahu dalam keadaan sekarang ramai yang mahu ambil kesempatan untuk menonjolkan diri.

“Namun, saya ikhlas dan ambil setiap komen netizen dari sudut positif. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas segala teguran, nasihat dan kata-kata semangat sepanjang isu ini berlaku. Saya hargai keprihatinan anda semua,” katanya.

Terdahulu, Neelofa serta syarikatnya sudah membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu itu.

Neelofa turut mengucapkan terima kasih dan menghargai teguran Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, selebriti ini terus menerima kecaman daripada netizen di media sosial termasuk mempertikaikan keikhlasannya membuat permohonan maaf.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 3:29pm
d