utama

'Ibu kata jangan ambil barang orang'

Oleh Hadzlihady Hassan

“SAYA lihat wang kertas yang bersusun dalam dompet di tengah jalan lalu mengambilnya sebelum meneruskan perjalanan ke tempat kerja.

"Ketika itu, tangan saya menggeletar untuk membuka dompet terbabit kerana teringatkan pesan ibu yang melarang mengambil barang kepunyaan orang lain."

Begitu kata Muhd Asri Abdul Rahman, 36, yang menemui dompet mengandungi wang tunai RM1,900 sebelum menyerahkan kembali kepada pemiliknya di Tasek Gelugor, Kepala Batas, Jumaat lalu.

Muhd Asri yang juga Pembantu Am Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berkata, dia menemui dompet yang tercicir itu pada 2.45 petang ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Depoh Tasek Gelugor.

"Pada mulanya saya hanya nampak dompet, namun selepas menoleh sekali lagi saya lihat wang kertas yang tebal lalu mengambilnya kerana bimbang diambil orang lain.

"Bagaimanapun, saya takut untuk membuka dompet itu dan membawanya ke tempat kerja sebelum memberitahu rakan-rakan lain," katanya.

Menurut bapa kepada dua anak berusia 11 dan empat tahun itu, dia akhirnya nekad membuka dompet terbabit untuk mencari pemiliknya sebelum terjumpa kad perniagaan dan terus menghubungi nombor tertera.

"Ketika waktu rehat pada 8 malam, saya menghubungi pemilik dompet terbabit dan kami berjanji bertemu di surau berhampiran rumahnya.

"Saya gembira dan bersyukur kerana dapat memulangkan kembali dompet terbabit kerana tahu pemiliknya mesti berada dalam keadaan bimbang," katanya.

Sementara itu, pemilik dompet Kamaruzzaman Kamarudin, 30, berkata dia terharu dan bagai tidak percaya kerana masih ada insan yang berhati mulia serta jujur kerana memulangkan kembali dompetnya yang tercicir.

Perunding perkahwinan terbabit, berkata semua wang itu mahu digunakan untuk membayar bil dan membeli barang keperluan lain, namun dia menyedari tercicir ketika turun dari kereta di sebuah pasar raya.

"Ketika itu, saya hanya mampu reda dan beranggapan semua wang yang ada dalam dompet itu mungkin lesap diambil orang.

"Bagaimanapun, saya langsung tidak menyangka ada insan berhati mulia yang memulangkan kembali dompet tanpa menyentuh walau sesen pun wang yang ada di dalamnya," katanya.

Menurutnya, dia berkongsi kisah itu dengan memuat naik gambar mereka dalam akaun Facebook miliknya, namun terkejut apabila ia menjadi tular.

"Saya berkongsi kisah itu kerana mahu semua orang tahu bahawa masih ada insan jujur dan boleh dipercayai dalam dunia ini,' katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 8:31pm
d