utama

Duet menjadi

Oleh Ramlah Zainal

Nama penyanyi muda berbakat besar dari Singapura, Aisyah Aziz, 23, melonjak selepas meraih sembilan pencalonan pada Anugerah Planet Muzik (APM) tahun lalu.

Malah, lagu duetnya berjudul Senyum Saja bersama penyanyi Haikal Ali juga diangkat sebagai Lagu Terbaik (Singapura) pada anugerah terbabit.

Terbaru, Aisyah mempertaruhkan lagu duetnya bersama penyanyi Indonesia, Rizky Febian berjudul Indah Pada Waktunya.

Klip video lagu Indah Pada Waktunya yang dimuat naik di YouTube sejak 25 Januari lalu turut mendapat sambutan positif dengan meraih lebih sejuta tontonan.

Lebih menarik, lagu itu turut dijadikan drama bersiri lapan episod yang ditayangkan di YouTube.

Pemilik nama sebenar Nur Aishah Aziz ini tidak menyangka lagu duetnya bersama Rizky itu meninggalkan kesan mendalam kepada peminat.

“Pada mulanya, saya agak bimbang memikirkan penerimaan peminat terhadap lagu itu. Namun, saya terharu apabila ramai memberitahu lagu ini dekat dengan kisah hidup mereka yang pernah merasai percintaan jarak jauh,” katanya.

Bercerita mengenai proses pembikinan lagu itu, Aisyah berkata, idea untuk bekerjasama dengan Rizky tercetus ketika pertemuannya dengan penyanyi itu pada APM 2016 di Singapura.

“Kami banyak berkongsi perkembangan karier muzik masing-masing dan di situlah bermulanya idea menjayakan projek lagu duet ini.

“Saya anggap projek lagu duet dengan Rizky membuka peluang untuk saya menawan hati peminat di Indonesia seterusnya menembusi pasaran muzik negara itu,” katanya.

Mengenai proses rakaman bersama penerbit Iffa Facher pula, kata Aisyah, dia turut menimba pengalaman baru dalam bidang muzik.

“Kami berkongsi idea dalam bidang muzik dan masing-masing begitu bersemangat memberikan yang terbaik kepada peminat sama ada di Singapura, Malaysia mahupun di Indonesia,” katanya.

‘Vokal Aisyah unik’- Rizky

Seperti Aisyah, Rizky, 20, yang juga anak kepada pelawak popular Indonesia, Sule antara penyanyi muda yang berbakat besar di negaranya.

Antara lagu popularnya ialah Kesempurnaan Cinta dan Cukup Tau.

“Selepas bertemu Aisyah, saya memberanikan diri untuk mempelawanya bekerjasama dalam lagu duet.

“Saya tertarik berduet dengan Aisyah kerana keunikan vokalnya,” katanya.

Rizky berkata, proses rakaman juga mengambil sedikit masa kerana agenda seninya dan Aisyah yang padat.

“Ia juga kerjasama pertama saya dan Aisyah dan berharap lagu ini dapat mengembangkan sayap dalam bidang muzik ke Singapura dan Malaysia pula selepas ini,” katanya.

Rizky berkata, dia juga gembira kerana drama bersiri Indah Pada Waktunya turut mendapat sambutan positif daripada peminat di Indonesia.

“Terus terang, saya gementar bergandingan dengan Aisyah ketika penggambaran drama pendek itu di Korea Selatan sebelum ini.

“Aisyah juga ada bakat dalam bidang lakonan dan ia memudahkan kami bekerjasama menjiwai watak masing-masing dalam drama ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kata Rizky, dia juga akan muncul dengan album penuh tahun ini.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 7:17am
d