utama

Bunuh rakan di bilik air

Oleh Omar Osman

LELAKI dari Kajang, Selangor ditemui mati digantung di dalam hotel bajet di Taman Bandar Baru, Sungai Petani, dipercayai dibunuh dua rakannya, malam tadi.

Mayat mangsa ditemui digantung dengan kabel di dalam bilik air bilik oleh penjaga hotel yang bergegas ke bilik di tingkat dua selepas mendengar pergaduhan pada 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisiner Saifi Abdul Hamid, berkata,

mangsa yang berasal dari Kajang tiba di hotel yang itu pada 6 petang bersama dua rakan dan mendaftar masuk ke bilik di tingkat dua hotel itu.

Bagaimanapun, katanya pada 8.30 malam penjaga hotel itu mendengar suara seperti pergaduhan dari dalam bilik terbabit dan tidak lama selepas itu dua rakan mangsa tergesa-gesa keluar dari bilik itu dan dan terus menghilangkan diri.

"Penjaga hotel curiga dengan gelagat dua lelaki tersebut dan terus memeriksa bilik sebelum mendapati pintu bilik terbuka dan terkejut apabila terlihat mangsa tergantung di dalam bilik air dengan wayar elektrik.

"Penjaga itu kemudian cuba membantunya dengan menurunkan mangsa yang ketika itu masih bernyawa sebelum menghubungi hospital dan polis.

"Namun mangsa disahkan mati oleh pegawai perubatan yang tiba kemudian," katanya.

Saifi berkata, pemeriksaan awal menunjukkan terdapat kesan luka pada dahi serta calar pada badan dan lebam akibat jerutan pada leher mangsa.

Ujarnya, siasatan awal dapati mangsa dipercayai digantung dengan menggunakan wayar elektrik oleh dua rakannya dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup mendapati kedua suspek bergegas meninggalkan hotel selepas kejadian itu.

" Polis sudah mengenal pasti kedua rakan mangsa dan yakin kedua suspek dapat ditahan dalam masa terdekat dan motif pembunahan masih dalam siasatan.

" Mayat mangsa dihantar ke Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya lagi.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 7:52am
d