utama

Pak Majid raja sulaman manik dunia

Oleh TN Alagesh

Kuantan: Setahun selepas menyiapkan sulaman unik menggunakan 500,000 manik pelbagai warna, Abdul Majid Abdul Rahman dari Kampung Cherating di sini, secara rasmi diiktiraf sebagai pemegang rekod dunia dalam penghasilan sulaman manik terpanjang.

Abdul Majid, 58, yang lebih mesra dengan panggilan Pak Majid Cherating menerima pengiktirafan itu daripada World Record Academy (WRA) yang beroperasi di Amerika Syarikat dan sijil, pingat serta pin pengiktirafan diterimanya menerusi kiriman pos, 28 Februari lalu.

Ia sekali gus memperakui karya bermotifkan Jalur Gemilang dan Menara Berkembar Petronas itu yang dihasilkan pada 2016 dan turut dianggap pencapaian peribadi membanggakan dirinya serta Pahang.

Sebelum itu, dia menerima emel pengesahan daripada WRA pada Oktober tahun lalu yang mengiktiraf sulaman manik sepanjang 17.8 meter dan lebar satu meter.

Bapa lapan anak itu menganggap pengiktirafan berkenaan seperti mimpi yang menjadi kenyataan kerana sebelum ini pernah menerima penghargaan sama daripada The Malaysia Book of Records selepas sulaman manik dihasilkan, mencecah 16 meter.

“Pelbagai cabaran dilalui untuk hasilkan sulaman ini dan saya sendiri hampir berputus asa kerana cubaan meletakkan karya ke peringkat antarabangsa menemui kegagalan termasuk, permohonan pernah ditolak oleh penganjur.

“Sedangkan saya sudah habiskan banyak masa, tenaga dan wang untuk projek ini. Setiap malam saya mengambil masa empat jam untuk menyulam. Namun ada kalanya saya buntu dan tidak sihat, serta perlu ada inspirasi supaya proses menyulam berjalan lancar.

“Saya memulakan sulaman manik ini pada 2007 dan kira-kira sembilan tahun selepas itu, karya ini berjaya disiapkan dan mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara,” katanya ditemui di sini, semalam.

Pak Majid yang berasal dari Besut, Terengganu berkata, dalam menyiapkan sulaman itu, dia menerima sokongan padu keluarga, selain Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Katanya, sokongan semua pihak memberi semangat kepadanya untuk menyiapkan kerja tangan itu dengan baik.

“Ketika saya terima emel daripada WRA mengenai pengiktirafan itu, saya kemudian memaklumkan kepada Menteri Besar dan beliau menunjukkan minat serta memberikan sokongan terhadap usaha yang saya lakukan,” katanya ketika ditemui.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 8:18am
d