utama

Lesen 'tutup mata'

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Rawang: Lesen dimiliki adalah lesen permainan kanak-kanak namun siasatan mendapati premis terletak di Seksyen 7 di sini, menempatkan berpuluh mesin judi simulator meja dan simulator kotak.

Lebih mengejutkan apabila pemilik premis hanya membenarkan kaki judi di kalangan warga asing memasuki premis itu untuk mencuba nasib.

Itu antara taktik digunakan sindiket perjudian yang diserbu sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor diketuai Pegawai Turus Deputi Superintendan Norhizam Bahaman di sini, jam 11.40 malam kelmarin.

Norhizam berkata, seramai 33 individu ditahan termasuk pekerja dan kaki judi yang leka bertaruh di premis berkenaan.

“Siasatan awal mendapati premis judi ini hanya membenarkan pemain judi warga asing memasuki premis itu.

“Premis berkenaan didapati menggunakan lesen permainan kanak-kanak bagi mengelakkan mereka diserbu pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, polis merampas 10 unit mesin simulator pelbagai jenama, 30 mesin slot dan wang tunai RM5,229 dipercayai wang hasil taruhan.

“Semua tangkapan dibawa ke Balai Polis Rawang untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Sekyen 55b, Sekyen 39b dan Seksye6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Operasi dilakukan itu adalah kejayaan terbaru selepas Unit Pencegahan Perjudian (D7A) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman turut menumpaskan satu sindiket judi di Jalan Pandan 2/2, Pandan Jaya, di sini, kelmarin..

Sebanyak lima mesin simulator meja serta 20 mesin simulator kotak dirampas dalam serbuan itu.

Polis turut menahan dua pekerja lelaki warga Bangladesh serta tiga pelanggan terdiri daripada seorang lelaki tempatan, seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang pemegang Mykad bertaraf pemastautin tetap.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 8:23am
d