utama

Enggan komen jumpa Mufti

Oleh Ramlah Zainal

"SAYA tidak mahu lagi memanjangkan isu ini. Saya juga sudah tutup buku," kata pelakon dan pengacara popular, Neelofa.

Menurut pemilik nama sebenar, Noor Neelofa Mohd Noor, 29, dia tidak mahu mengulas mengenai berita yang mendakwa dia dan kedua ibu bapanya merancang untuk bertemu Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, minggu ini.

"Saya tidak mahu cakap sama ada betul atau salah, jadi atau tidak saya berjumpa dengan Mufti seperti yang tersebar itu kerana ingin meletakkan titik noktah pada semua ini.

"Saya mahu fokus ke depan dan mahu mengakhiri semua kontroversi ini. Apapun, keadaan saya okay sekarang," katanya.

Pada masa sama, kata Neelofa, dia akan berlepas ke Taiwan untuk urusan kerja, minggu ini.

"Saya akan terbabit dengan penggambaran sebuah jenama telefon selama empat hari di sana," katanya.

Ditanya mengenai babak mesra lakonannya bersama pelakon Zul Ariffin ketika penggambaran drama bersiri Ti Amor Sweetheart 100 Hari yang tular dan mendapat komen negatif netizen, Neelofa juga enggan mengulas.

"Penggambaran drama itu sudah selesai Ahad lalu.

"Namun, saya tidak mahu cakap lagi pasal isu itu. Saya mahu bernafas kejap. Harap semua memahami situasi saya sekarang," katanya.

Terdahulu, majlis sambutan hari jadi Neelofa dan pelancaran koleksi terbaru Naelofar Hijab, Be Lofa di pusat hiburan di Kuala Lumpur, minggu lalu dikecam netizen kerana dikatakan tidak sesuai dengan imejnya.

Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk beberapa Mufti dan pertubuhan Islam menyuarakan pandangan dan nasihat kepada pelakon terbabit termasuk memintanya bertaubat.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 6:18pm
d