utama

Saya nak ajar dia : Armin [METROTV]

Oleh Norrasyidah Arshad

SUAMI penyanyi terkenal Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri, didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini, atas pertuduhan mencederakan anak lelakinya, 25 Februari lalu.

Armin,53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, dia yang kini tidak berkerja didakwa menyebabkan kecederaan luka dan lebam terhadap seorang anaknya dengan menggunakan rotan.

Perbuatan berkenaan dilakukan di rumahnya di Denai Alam, Shah Alam, kira-kira 4 pagi, 25 Februari lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada mana-mana seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Armin yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memaklumkan perbuatan itu dilakukan dengan tujuan mengajar anaknya mengaji dan solat.

“Saya tidak dera anak. Saya ajar dia mengaji dan solat tetapi dia tidak faham dan bebal.

“Saya bertanggungjawab terhadap empat anak selain mempunyai ibu yang sakit dan perlu menghantarnya ke hospital,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharif Afendi yang mengendalikan kes menawarkan ikat jamin tertuduh berjumlah RM10,000.

Raja Noor Adilla menurunkan jumlah jaminan kepada RM5,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 April depan.

Difahamkan, laporan polis dibuat sendiri oleh Ziana pada 27 Februari lalu sebelum Armin ditahan polis bagi membantu siasatan, Jumaat lalu.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Disiarkan pada: March 6, 2018 @ 1:06pm
d