utama

STPM 2017: Lebih ramai bakal mahasiswa ke universiti awam [METROTV]

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

KEPUTUSAN Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 meningkat dengan catatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional naik kepada 2.76 berbanding 2.71 pada 2016.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan PNGK nasional yang memberangsangkan dalam semua kriteria pengukuran pencapaian berbanding STPM 2016.

Beliau berkata, keputusan itu mengatasi semua pencapaian sejak STPM modular diperkenalkan pada 2013.

Katanya, peningkatan itu membabitkan PNGK Nasional, PNGK 3.50 ke atas, PNGK 3.00 ke atas, PNGK 2.75 ke atas, PNGK 2.50 ke atas, PNGK 2.00 ke atas, peningkatan peratus lulus penuh pada lima dan empat mata pelajaran dan peratus lulus penuh dalam sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dengan gred C ke atas.

“Bilangan calon yang memperoleh PNGK 3.50 ke atas bertambah kepada 6,408 calon iaitu 14.89 peratus berbanding 6,137 calon (14.20 peratus) pada 2016.

“Peratusan calon yang mendapat PNGK 3.00 ke atas juga meningkat kepada 40.48 peratus (17,423 calon) pada 2017 berbanding 37.62 peratus (16,263 calon) pada 2016.

“Bagaimanapun, peratusan calon mendapat PNGK 4.00 sedikit menurun iaitu kepada 1.13 peratus atau 485 calon berbanding 1.31 peratus (565 calon) pada 2016.

“Namun, saya menjangkakan peluang lepasan STPM 2017 untuk diterima masuk ke universiti awam adalah lebih besar kerana peningkatan dan bilangan calon yang mendapat PNGK 2.75 ke atas adalah tinggi iaitu 55.19 peratus berbanding 51.83 peratus pada 2016,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2017 di Putrajaya, sebentar tadi.

Turut hadir Ketua Eksekutif MPM Mohd Fauzi Mohd Kassim.

Beliau berkata, bilangan dan peratusan calon yang mendapat 5A dan 4A menurun kepada 521 calon (1.21 peratus) pada 2017 berbanding 575 calon (1.33 peratus) pada 2016.

“Bagaimanapun, peratusan calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran meningkat kepada 72.02 peratus berbanding 71.88 peratus pada 2016.

“Peningkatan ini juga memberi gambaran bahawa pencapaian calon Tingkatan Enam di sekolah kerajaan kini semakin baik, dipercayai hasil pelaksanaan inisiatif Pemerkasaan Tingkatan Enam yang giat diusahakan Kementerian Pendidikan,” katanya.

Mohamed Mustafa berkata, secara keseluruhan, semua 22 mata pelajaran yang ditawarkan dalam STPM 2017 mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 70 peratus, iaitu gred C dan ke atas.

“Sebagai menghargai pencapaian cemerlang sekolah yang mempunyai Gred Purata Sekolah (GPS) tertinggi, MPM memberikan sijil penghargaan kepada 10 sekolah kerajaan terbaik pada STPM 2017,” katanya.

10 Sekolah Terbaik STPM 2017

1. Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor

2. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas, Kelantan

3. SMK Hua Lian, Taiping, Perak

4. Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Mohd Said, Seremban, Negeri Sembilan

5. SMK Sacred Heart, Sibu, Sarawak

6. SMK Padang Saujana, Jerantut, Pahang

7. SMK Kangkong, Pasir Mas, Kelantan

8. SMA Maarif, Besut, Terengganu

9. SMK Sultan Ibrahim (2), Pasir Mas, Kelantan

10. SMK Tengku Mahkota, Muar, Johor

Disiarkan pada: March 6, 2018 @ 1:42pm
d