utama

Terima kasih suamiku...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza berterima kasih kepada suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa kerana menyediakan kemudahan lif di rumah mereka bagi kegunaan sepanjang tempoh berpantang nanti.

Bagaimanapun Siti, 39, berkata kemudahan itu bukan untuknya seorang tetapi buat seisi keluarga.

“Alhamdulillah, lif ini kemudahan keluarga juga sebenarnya dan secara tak langsung, memudahkan juga saya untuk turun naik nanti,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Siti yang memilih untuk bersalin secara pembedahan dua minggu lagi akui berdebar menanti saat itu.

“Saya akui agak berdebar, begitu juga suami walaupun dia tidak tunjuk pada saya. Saya berharap segalanya berjalan dengan baik dan terima kasih kerana ramai yang mendoakan saya.

“Ini kekuatan saya sebenarnya. Dalam masa sama, tentulah sangat teruja menunggu saat bersalin bayi perempuan nanti,” katanya.

Siti sarat mengandung sembilan bulan mengumumkan bakal melahirkan anak perempuan sempena ulang tahun kelahirannya ke-39 pada Januari lalu.

Tidak hanya itu, Siti turut menghasilkan single baru dicipta khas untuk bakal bayi dilahirkan, Comel Pipi Merah yang baru sahaja dilancarkan semalam.

Menariknya, lagu ciptaan Siti itu kini menduduki tangga kedua dalam carta iTunes Malaysia.

“Alhamdulillah, walaupun belum sampai sehari, lagu itu berada dalam carta nombor dua. Ini adalah sokongan peminat muzik dan penggemar lagu saya.

“Malah ramai yang menantikannya sejak saya nyanyikan di majlis perjumpaan Sitizone Januari lalu. Terima kasih kepada semua kerana tetap setia mendukung lagu nyanyian saya walaupun saya tidak aktif sejak hamil,” katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2018 @ 2:35pm
d