utama

Gigih kejar impian

Oleh Norhayati Nordin

Setiap selebriti ada cara tersendiri untuk mengecapi populariti, begitu juga dengan pelakon Nazeera Sardi, 32, yang selesa berpegang pada prinsip ‘berpada-pada’.

Pemilik nama sebenar, Siti Nazirah Sardi ini mengakui dia memilih dikenali melalui bakat berbanding cerita sensasi , gosip dan peribadi.

Nazeera berkata pada usia 32 tahun, dia perlu matang dalam mengemudi arah hidupnya.

“Saya tidak perlu mengikut cara orang lain meraih populariti. Bagi saya, cukuplah hanya mempertaruhkan bakat dan sejak dulu sehingga sekarang semuanya lancar.

“Walaupun tidak pernah mencanang kisah cinta atau apa yang sudah berlaku, saya okey kerana tawaran berlakon tidak pernah putus,” katanya.

Nazeera yang sudah menutup kemas kisah cintanya berkata hari-hari yang dilaluinya kini bahagia apabila perjalanan karier seni teratur, perniagaan butik yang makin mendapat sambutan dan menyiapkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk pendidikannya.

“Jadual saya padat dengan banyak perkara penting. Hinggakan tiada masa untuk fikir soal cinta.

“Namun, saya tidak nafikan sedang berkawan dengan seseorang. Cuma, untuk perkongsian lanjut soal hati rasanya belum sampai masa lagi.

“Kini saya mahu kejar impian dalam karier dan pelajaran dulu. Itu fokus utama saya dan urusan peribadi seperti jodoh, biar Allah SWT yang tentukan,” katanya.

Nazeera yang kian dikenali menerusi drama Pembancuh Kopi Mr Vampire tahun lalu berkata dia tidak terlalu kecewa dan terluka dengan kegagalan percintaan lalu.

Selesa mengambil pendekatan positif, Nazeera berkata dia akur tiada jodoh dan perancangan Allah adalah terbaik yang wajar disyukuri.

Berbicara mengenai karier lakonannya, Nazeera kini sibuk dengan penggambaran drama Cinta Fatamorgana arahan Heykal Hanafiah untuk slot Akasia di TV3.

Melakonkan watak pembantu dan antagonis, Nazeera berkata dia tidak begitu memilih watak asalkan jalan cerita drama dibintangi mantap dan diyakini meninggalkan kesan.

Selain itu, Nazeera juga akan muncul untuk watak utama dalam drama 13 episod, Skrin Sentuh Hati Erynna di RTM tidak lama lagi. Begitu juga, drama istimewa untuk tayangan Aidilfitri.

Pertaruh single Tetap Ada Cinta

Selain berlakon, bakat seni Nazeera kini diperluaskan dalam bidang nyanyian. Gadis berwawasan tinggi ini muncul dengan single Tetap Ada Cinta.

Single ciptaan bersama komposer, Omar K dan penyanyi Ikhwan Fatanna itu bergenre balada dan dirakamkan Nazeera pada Ramadan tahun lalu.

Sudah tiga bulan lirik video Tetap Ada Cinta dimuat naik di YouTube dan meraih lebih 11,000 tontonan. Bagaimanapun, urusan promosi lagu itu baru giat dilakukan Nazeera.

Berbicara mengenai pembabitannya sebagai penyanyi, Nazeera berkata ia berlaku secara kebetulan dan tidak pernah diduga.

“Saya memang minat menyanyi, tetapi tidak pernah terfikir akan dapat peluang merakamkan single solo sendiri. Apatah lagi, menyanyikan lagu ciptaan Omar.

“Omar pun pada mulanya macam tidak percaya saya boleh menyanyi dengan baik. Maklumlah, karier seni saya bermula sebagai pelakon.

“Bagaimanapun, saya suka ‘jamming’. Pantang ada masa senggang dan rakan ajak, saya akan berlatih dengan mereka,” katanya.

Mengakui sudah mula menerima tawaran menyanyi, Nazeera berkata, semuanya rezeki dan dia ikhlas mencuba. Ujarnya, tiada niat di hati mahu bersaing.

Mengharapkan single Tetap Ada Cinta diterima baik pendengar, anak jati Negeri Sembilan ini berkata, sekarang dia giat melakukan promosi.

Katanya, usaha itu semakin membuahkan hasil apabila single Tetap Ada Cinta sudah mula jadi perhatian pendengar dan disenaraikan dalam carta radio.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 5:34am
d