utama

Permaidani ganti baru, bahagian terjejas disertu [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

LIMA puluh jemaah kariah Masjid Sungai Pelong di Sungai Buloh yang dimasuki babi hutan malam tadi bergotong-royong melakukan pembersihan dan proses sertu di bahagian masjid yang terjejas.

Nazir Masjid, Hussin Rani berkata, kariah turut dibantu anggota bomba dan penyelamat, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Menurutnya, masjid berkenaan perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum proses sertu dijalankan.

"Setakat ini separuh daripada bahagian masjid berkenaan terkesan dan perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum boleh digunakan semula.

"Hanya bahagian dinding dan lantai sahaja dibersihkan dan disertu manakala permaidani masjid pula akan dilupuskan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Hussin berkata, permaidani masjid berkenaan akan diganti baru melalui sumbangan yang diterima daripada jemaah.

"Kos untuk mengganti permaidani baru itu adalah bernilai RM34,000 dan akan digantikan selewat-lewatnya petang ini.

"Saya bersyukur tiada kecederaan serius dialami oleh jemaah masjid ketika kejadian berlaku," katanya.

Katanya, proses pembersihan dan sertu yang dijalankan itu dipantau oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor.

"Pada ketika ini urusan solat jemaah masih dijalankan seperti biasa di ruang solat yang tidak terjejas.

"Kita menjangkakan bahagian yang terjejas boleh digunakan semula esok pagi," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam tadi, seorang jemaah masjid berkenaan cedera apabila disondol babi hutan yang masuk ke dalam masjid ketika jemaah menunaikan solat sunat ba’diah Maghrib.

Babi hutan berkenaan dikatakan tiba-tiba muncul di perkarangan masjid sebelum mengejar beberapa kanak-kanak yang berada di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, haiwan itu kemudian lari masuk ke dalam masjid dan menyondol seorang jemaah sehingga cedera.

Jemaah yang terkejut dengan kejadian itu kemudian cuba menghalau haiwan terbabit sebelum ditembak mati oleh seorang penduduk.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 12:37pm
d