utama

Beratnya ujian isteri solehah

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“WALAUPUN suami tidak mengingati saya, mengherdik, menghina dan sering mengancam untuk mencederakan saya, namun ia bukan alasan untuk saya meninggalkannya, malah tetap setia menjaga suami biarpun ia bukan sesuatu yang mudah, " kata Suzanariah Mohammad, 36, isteri kepada Mohd Nazri Ahmad, 39, yang hilang ingatan sejak terbabit dalam kemalangan lapan bulan lalu

Mohd Nazri yang berkerja sebagai jurukimpal terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Kemaman untuk menghadiri kursus pada 2 Ogos tahun lalu dan akibat kejadian itu, dia disahkan hilang ingatan dan mengalami trauma yang teruk akibat hentakan yang kuat pada kepala.

Suzanariah berkata, dia berasa buntu memikirkan nasib dia dan dua anaknya, Muhamad Fairuz Danial, 7 dan Sofia Liyana, 6, selepas suaminya itu ditimpa kemalangan.

"Sejujurnya saya dan anak-anak merindui suami yang dulu, dia seorang yang sangat penyayang dan bertanggungjawab, namun sejak terbabit dengan kemalangan itu, suami sudah berubah dan membimbangkan apabila suami kerap bertindak agresif," ketika ditemui Harian Metro di rumahnya, di Kuala Nerus, semalam.

"Suami terlantar selama sebulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum dia dibenarkan pulang dan beransur pulih serta berjalan seperti biasa, namun hentakan pada kepala menyebabkan suami tidak lagi mengenali saya sebagai isterinya malah kerap mengancam mencederakan saya dan anak-anak.

"Demi menjaga keselamatan saya dan dua anak, saya dengan persetujuan ibu bapa terpaksa menempatkan suami di dalam satu bilik khas supaya suami senang untuk dikawal dan tidak mencederakan saya dan anak-anak," katanya yang tinggal di kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir.

Tambahnya, sebagai isteri dia tidak pernah berniat untuk melayan suaminya seperti itu, namun keadaan suami memaksa dia dan keluarga berbuat demikian sehingga suaminya itu pulih sepenuhnya.

"Menurut doktor, peluang untuk suami pulih seperti biasa agak tipis, tetapi saya tidak pernah berputus asa untuk berusaha bagi merawat dan mengembalikan ingatan suami seperti sedia kala.

"Pelbagai kaedah yang pernah dicuba termasuk rawatan tradisional bagi merawat penyakit suami, namun tanda-tanda untuk suami pulih masih belum kelihatan, saya hanya mampu berdoa supaya suami pulih dan berharap keluarga kami bahagia seperti dulu," katanya.

Menurutnya, dia pernah meminta bantuan kenalan rapat suami untuk datang ke rumah bagi membantu suami mengingati seterusnya mengembalikan ingatannya, namun gagal kerana suami bertindak lebih agresif apabila usahanya untuk cuba mengingati tidak berjaya.

"Sekarang saya hadkan lawatan kenalan rapat suami supaya emosi suami tidak terganggu setiap kali mencuba untuk mengingati kenalannya itu," katanya.

Ibunya, Noraini Arifin, 54 berkata, dia simpati melihat nasib menantunya dan berharap Mohd Nazri kembali pulih dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami kepada isteri dan bapa kepada anak-anaknya seperti biasa.

"Sebagai ibu mentua, saya hanya mampu berdoa dan membantu anak menguruskan Mohd Nazri serta memberi sokongan dan semangat kepadanya dalam menghadapi dugaan berkenaan.

"Suzanariah bernasib baik kerana bapanya, Ahmad Embong, 64 dan adik lelakinya, Fauzi Ahmad, 32, selalu membantu menguruskan Mohd Nazri yang hilang ingatan dan agresif itu," katanya.

Menurutnya, selain menjaga suami yang hilang ingatan, anak sulungnya itu juga terpaksa mengambil upah membuat kuih bagi menampung perbelanjaan keluarganya.

"Menjadi tanggungjawab seorang isteri untuk menjaga suami yang sakit dan pada masa sama berkerja keras untuk menampung perbelanjaan keluarga justeru berharap permohonan anak untuk mendapatkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dipertimbangkan segera.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 2:19pm
d