utama

Kurang ajar! [METROTV]

Oleh Norizuan Shamsuddin

“SUNGGUH keji perbuatan lelaki itu, tergamak dia melakukan perbuatan tidak senonoh dengan melancap di hadapan emak saya sewaktu berada dalam lif. Perkara itu membuatkan emak trauma untuk keluar sendirian," kata Mohamad Syazwan Mohamad Jelani, 27.

Dalam kejadian 4.40 petang semalam, ibu Syazwan berusia 53 tahun mengalami detik cemas apabila menerima gangguan seksual dari lelaki yang tidak dikenali sewaktu menaiki lif di Blok D Pangsapuri Sri Nilam, Ampang Jaya.

Menurut Syazwan, kejadian berlaku sewaktu ibunya yang tinggal di Taman Kesuma, di sini, dalam perjalanan ke rumah rakannya yang tinggal di tingkat tujuh pangsapuri terbabit.

"Sewaktu kejadian, hanya ibu dan lelaki berkenaan sahaja berada di dalam lif.

"Lelaki terbabit pada mulanya hanya lihat telefon pintar yang dipegang di tangan kanannya. Bagaimanapun, secara tiba-tiba dia didapati memegang kemaluannya menggunakan tangan kiri dan melancap.

"Kejadian menyebabkan ibu saya takut dan segera keluar apabila pintu lif berkenaan terbuka sebelum memaklumkan kepada pihak pengurusan keselamatan pangsapuri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelas anak kedua dari empat beradik itu, susulan aduan dilakukan pihak pengurusan keselamatan, pangsapuri berkenaan membuat semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam lif.

"Difahamkan lelaki berkenaan sebelum ini pernah melakukan perbuatan sama terhadap penghuni pangsapuri berkenaan.

"Susulan itu, ibu membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Ampang, pada hari sama bagi tindakan lanjut," katanya.

Kejadian menjadi tular apabila Syazwan memuatnaik video rakaman CCTV sewaktu kejadian di Facebook bagi meminta orang ramai serta penduduk supaya berwaspada dengan lelaki terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melanggar kesopanan.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 4:04pm
d