utama

'Maafkan saya terkhilaf'

Oleh Omar Osman

“SAYA mengaku salah kerana memuat naik video terlampau itu sehingga menyinggung perasaan orang ramai, tetapi percayalah tiada sedikit niat di hati ini untuk menyakiti mana-mana pihak.”

Itu luahan Amiza, 22, apabila video luahan ‘hajatnya’ mahu dirogol oleh ramai lelaki menjadi tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.

Selepas teruk dikecam netizen, janda terbabit membuat permohonan maaf menerusi video, semalam selain turut memadam video terlampau yang dimuat naik sebelum itu.

Dia mendakwa tiada langsung niat mahu menyinggung mana-mana lelaki dan kaum serta mempersendakan kesucian agama Islam.

"Bukan niat saya untuk menyakiti atau menyinggung hati mana-mana pihak, apatah lagi mahu merendahkan imej Islam. Saya tidak sangka niat muat naik video sekadar untuk bergurau menjadi isu besar sehingga tular dalam media sosial.

"Saya juga tidak berniat mahu menjatuhkan maruah lelaki mana-mana kaum seperti yang terdapat dalam video yang dirakam itu dan berharap sangat mereka yang tersinggung dapat memaafkan saya," katanya.

Menurutnya, dia sebenarnya tertekan dan fobia selepas diceraikan oleh bekas suami, selain dikecewakan ramai lelaki sehingga perasaan itu terbawa-bawa sehingga kini.

Katanya, niat asal memuat naik video berkenaan hanya untuk melariskan produk ‘ubat kuat’ yang dijualnya secara atas talian.

“Sejak video (terlampau) itu menjadi tular, ahli keluarga dan jiran turut berjumpa sambil menasihati supaya menghentikan perbuatan itu.

“Saya akui video (terlampau) yang tular itu adalah kesilapan kedua, selepas video kahwin kontrak yang dimuat naik sebelum ini turut menerima kecaman masyarakat,” katanya.

Bagaimanapun, Amiza enggan mengulas lanjut mengenai perniagaan produk ubat perangsang dan alatan seks yang dijualnya secara atas talian.

Menurutnya, selain ubat dan alatan itu, dia turut menjual beberapa produk lain termasuk barang kemas.

Katanya, dia berasa menyesal dengan kejadian kali kedua itu dan berjanji tidak mengulangi perbuatan sama dengan lebih berhati-hati dalam memuat naik sebarang video atau kenyataan di laman sosial.

"Apa yang berlaku ini mungkin satu pengajaran. Saya juga memohon kepada mereka yang ada menyimpan video terbabit agar memadamnya termasuk satu rakaman video rumah saya yang dirakam oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO)

"Saya kini bimbang selepas sebuah NGO memuat naik rakaman video rumah saya hingga menyebabkan keluarga saya berasa tidak selamat.

"Ini kerana saya bimbang keselamatan ibu dan nenek yang mungkin menjadi sasaran pihak tidak dikenali,” katanya.

Baru-baru ini, orang ramai menggesa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) untuk menyiasat video tular seorang peniaga wanita dalam talian yang dikatakan mahu merasai dirogol lebih daripada lima lelaki.

Malah, terdapat video dalam laman sosial Facebook milik wanita itu yang didakwa mempromosikan peralatan seks sambil diiringi ayat suci al-Quran.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 11:48pm
d