utama

Bukan isu besar pun...

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Pengarah berbakat besar Syafiq Yusof berharap penonton filem KL Special Force tidak melihat persamaan babak aksi rompakan dalam filem itu dengan beberapa filem aksi luar negara sebagai isu besar.

Syafiq, 25, berkata, banyak filem aksi yang diterbitkan di Hollywood atau Hong Kong turut menggunakan pendekatan sama.

Katanya, kebetulan salah satu babak rompakan dalam filem KL Special Force perompaknya memakai topeng yang hampir sama seperti penjahat dalam filem New Police Story lakonan Jackie Chan, Daniel Wu dan Nicholas Tse pada 2004.

“Ada banyak filem menggunakan pendekatan serupa. New Police Story itu juga berinspirasikan daripada filem Point Break pada 1991. Sejak itu bermulanya babak perompak bertopeng.

“Kemudian filem Heat lakonan Robert De Niro, Al Pacino dan Val Kilmer pada 1995 dan selepas itu banyak lagi filem lain. Sekarang saya pula yang buat dan ada yang katakan salah,” katanya.

Syafiq berkata, filem terbaru arahannya itu turut mendapat inspirasi daripada beberapa filem aksi dari Hong Kong.

KL Special Force mengisahkan unit khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berusaha untuk menjatuhkan kumpulan perompak yang dikenali sebagai Geng Anarkis.

Dibarisi pelakon seperti Datuk Rosyam Nor, Syamsul Yusof, Fattah Amin, Sabrina Ali dan Tania Hudson, ia mula ditayangkan hari ini.

Disiarkan pada: March 8, 2018 @ 5:34am
d