utama

Biasa saja 300 jemaah

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Sungai Buloh: Aktiviti mengimarahkan Masjid Jamek Kampung Sungai Plong di sini, berjalan seperti biasa dengan 200 jemaah hadir mendirikan solat Zuhur, semalam.

Kelmarin jemaah masjid itu digemparkan dengan pencerobohan seekor babi hutan sehingga ada segelintir netizen yang mengatakan kejadian itu adalah petanda rumah ibadat itu kosong.

Nazir Masjid Jamek Kampung Sungai Plong, Hussin Rani berkata, kebiasaannya jumlah jemaah pada setiap waktu solat adalah 150 hingga 300 orang.

Menurutnya, jemaah pada setiap kali solat Maghrib dan Isyak lebih ramai kerana kebanyakkan ahli kariah pulang daripada bekerja.

“Alhamdulillah, selepas banyak aktiviti dilakukan mengimarahkan masjid ini, jumlah jemaah pun semakin bertambah dari hari ke hari.

“Dakwaan segelintir pihak masjid kami kosong, itu saya anggap sebagai komen nakal saja. Hanya ahli kariah saja yang tahu bagaimana kami uruskan masjid ini,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan kerja pembersihan masjid itu, Hussin berkata, pemasangan karpet dimulakan kelmarin hampir siap.

“Alhamdulillah, kejadian masjid diceroboh babi hutan sebenarnya memberikan banyak hikmah, kutipan sumbangan masjid bertambah,” katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2018 @ 6:58am
d