utama

Maut ditetak kekasih ibu mentua

Oleh Mohd Nazllie Zainul

LELAKI warga asing maut selepas ditetak rakannya di dapur rumah tidak bernombor di Kampung Longgom, Kota Marudu, semalam.

Kejadian 8.30 malam itu menyebabkan mangsa dikenali Bobit, 30-an yang juga penoreh getah mati di tempat kejadian kerana kecederaan serius.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, mangsa yang juga warga Filipina mempunyai kesan tetakan di leher, perut, muka dan bawah lutut dipercayai ditetak dengan parang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berusia 50-an bertindak demikian kerana berang selepas mengetahui mangsa pernah melakukan hubungan intim dengan kekasihnya yang juga ibu mentua mangsa.

“Difahamkan ketika kejadian, mangsa bersama isterinya orang tempatan, ibu mentuanya dan suspek berada di rumah itu serta mereka dalam keadaan mabuk.

“Isteri mangsa dikatakan bercerita mengenai mangsa yang sebelum ini pernah melakukan hubungan intim dengan kekasih suspek (ibu mentua mangsa) berusia 61 tahun di ladang getah berhampiran.

“Pendedahan itu menyebabkan suspek marah sehingga berlaku pergaduhan sebelum mangsa ditetak di dapur rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi di Kota Marudu, hari ini.

Mohd Izaan berkata, suspek yang juga kenalan rapat keluarga itu dan pernah bekerja bersama mangsa di ladang sawit, sering dilihat ke rumah itu untuk minum minuman keras.

Katanya, mangsa maut di tempat kejadian, sebelum mayatnya dihantar ke Hospial Pitas untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, usaha memburu suspek giat dilakukan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Disiarkan pada: March 9, 2018 @ 3:16pm
d