utama

Sarang kelulut keliling rumah

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Umpama terapi diri bagi pesara kerajaan, Zakaria Musa setiap kali melihat sarang kelulut di sekeliling rumahnya di Kampung Jeram, Beserah, di sini.

Setiap pagi dan petang, warga emas berusia 65 tahun itu akan meninjau lebih 50 sarang kelulut termasuk mengambil madunya untuk dijual atau diberi kepada mereka yang datang melawat sarang kelulut berkenaan.

Beliau yang mula menternak kelulut sejak dua tahun lalu bermula dengan 30 sarang kelulut jenis damar, hama dan thoracica yang dibeli daripada Orang Asli di Raub dengan harga antara RM200 dan RM350 satu sarang.

Zakaria berkata, modal yang besar diperlukan sekiranya ingin terbabit dengan aktiviti menternak kelulut kerana permintaannya tinggi menyebabkan harganya meningkat dua hingga tiga kali ganda sejak kebelakangan ini.

“Saya mula menternak kelulut pada 2016 dengan modal lebih RM30,000 untuk menyediakan tempat, seterusnya membeli 50 sarang kelulut dibekalkan secara berperingkat oleh Orang Asli yang mencarinya di kawasan hutan di Raub.

“Menerusi bantuan dua anak akhirnya saya berjaya mengusahakan projek berkenaan di sekeliling rumah bagi mengisi masa lapang dan perlu berdepan pelbagai cabaran di peringkat awal,” katanya yang sebelum ini berkhidmat di Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang.

Zainal berkata, beliau juga pernah berdepan situasi sarang kelulutnya mahu dicuri pihak tidak bertanggungjawab yang bergerak aktif pada waktu malam dan selain itu, kelulut juga lari meninggalkan sarang termasuk ancaman perosak seperti burung serta serangga antara cabaran terpaksa dihadapi penternak.

Katanya, kemuncak pengeluaran madu ialah sebanyak 15 kilogram (kg) dapat dihasilkan sebulan tetapi pengeluaran madu terhenti setiap kali musim hujan.

“Saya menjual madu dengan harga RM35 hingga RM45 sebotol (100 gram) dan mereka yang datang ke ladang juga diberi peluang menyedut madu dari sarang bagi merasai sendiri keseronokannya.

“Kawasan ladang ternakan kelulut saya kini turut dijadikan produk pelancongan yang semakin mendapat tempat di hati pelancong tempatan dan asing. Pengunjung datang untuk melihat sarang kelulut dan menyedut madunya,” katanya yang mendapat sokongan bantuan dan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian Pahang.

Sementara itu, anak Zakaria, Haziman, 26, yang banyak membantu bapanya berkata, bagi memenuhi permintaan terhadap madu kelulut yang semakin bertambah, dia bercadang untuk membesarkan projek terbabit secara berperingkat.

Katanya, kertas cadangan penyediaan kawasan ladang baru sudah dikemukakan kepada agensi bertanggungjawab. Sekiranya diluluskan usaha mendapatkan sarang kelulut akan dilakukan.

“Saya berharap impian memiliki ladang kelulut komersial yang turut menjadi produk pelancongan daerah ini menjadi kenyataan suatu hari nanti,” kata anak kelima daripada enam beradik itu.

Disiarkan pada: March 10, 2018 @ 7:16am
d