utama

Tunggu Rock Sangkut II

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Setiap individu ada zon selesa masing-masing dalam memilih kawan yang boleh dipercayai untuk berkongsi cerita dan menyimpan rahsia.

Begitu juga perihalnya dengan Mawi yang umum tahu akrab dengan Along Cham dan Hazama hingga kini.

Bahkan persahabatan mereka dimanfaatkan sebaiknya oleh Mawi dengan menghasilkan telefilem Rock Sangkut pada 2014 yang mendapat sambutan hangat penonton.

Berikutan penerimaan positif itu, Mawi menerusi syarikatnya, Mawi World Entertainment menghasilkan pula filem Rock Sangkut II yang sekali lagi menampilkan Along Cham dan Hazama yang dijangka menemui penonton hujung tahun ini.

Keserasian tiga serangkai itu tidak perlu dipertikai lagi. Bahkan sepanjang sesi fotografi berlangsung, suasana studio riuh rendah dengan keletah selamba Hazama dan Along, manakala Mawi pula hanya tenang serta sesekali ketawa memerhatikan gelagat dua rakannya.

Mawi mengakui seronok apabila dapat bekerjasama dengan dua rakannya itu dalam naskhah baru arahannya.

“Saya sebenarnya boleh berkawan dengan sesiapa saja tetapi tak dinafikan lebih rapat dengan Along dan Hazama.

“Untuk filem Rock Sangkut pun, saya menerima banyak permintaan yang mahu mengekalkan tiga watak utama iaitu Hazama, Along dan Joey,” katanya.

Mawi yang kini lebih fokus pada penerbitan filem berkata, keserasian yang diperlihatkan bukanlah dibuat-buat hanya untuk drama dan filem semata-mata.

“Kami memang rapat sejak dulu. Sebab itulah saya tak bimbang ambil mereka berlakon. Kalau ada kelapangan saya lepak dengan mereka untuk berkongsi pelbagai cerita.

“Saya kenal Along sejak kami sama-sama jadi deejay karaoke di Johor. Memang sangat rapat,” katanya.

Sementara itu, dia mula berkawan rapat dengan Hazama pada 2006 apabila sering terbabit dalam program Gempak Desa anjuran Astro.

“Dari situlah segala-galanya bermula. Saya akui imej dan karakter Hazama yang persis budak nakal buat saya selesa mendampinginya.

“Sikapnya yang selamba dan tidak hipokrit buat persahabatan kami semakin erat,” katanya.

Along mengiyakan perkongsian Mawi yang mereka rapat apabila sama-sama bekerja di Johor.

“Kami jumpa semula di Kuala Lumpur selepas dia bergelar penyanyi popular, manakala saya pula keluar daripada program Raja Lawak.

“Saya sudah anggap dia seperti abang. Saya kenal Hazama pada 2008 dan kami terus rapat. Orangnya pun ‘simple’ dan sanggup susah senang bersama,” katanya.

Tambah Along, persahabatan mereka bukan berlandaskan wang atau kepentingan semata-mata sebaliknya ia berlandaskan keikhlasan.

“Mawi pendengar yang baik. Ketika penggambaran filem, saya ada juga bagi idea dan dia boleh terima.

“Alhamdulillah, ketika saya berdepan masalah rumah tangga dia tak masuk campur dan banyak bagi nasihat,” katanya.

Sama seperti Along, Hazama sudah menganggap Mawi seperti keluarga sendiri.

“Selepas telefilem Rock Sangkut, kami berhubung seperti biasa. Malah sebelum ini pun memang kami selalu lepak bersama, main sepak takraw dan buat macam-macam aktiviti lagi.

“Ia bukan kerana Rock Sangkut tapi kerana kami saling sayang-menyayangi sebagai saudara seagama,” katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2018 @ 7:13am
d