utama

Belum sedia lakon filem

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Nama pelakon Azira Shafinaz semakin mendapat tempat di hati penggemar drama tempatan.

Lakonan anak didik Sheila Rusly ini tidak perlu disangkal lagi meskipun kariernya bermula sebagai penyanyi.

Namun, selepas empat tahun mencanai bakat sebagai pelakon, Azira mengakui belum bersedia beraksi di layar lebar.

“Ada beberapa tawaran filem sebelum ini tetapi saya belum bersedia atas beberapa sebab,” katanya.

Menurut wanita jelita berusia 27 tahun itu, banyak lagi ilmu yang perlu dipelajarinya sebelum mencuba nasib sebagai bintang filem.

“Saya masih belajar. Bukan terlalu memilih atau cerewet, tapi saya belum cukup pengalaman,” katanya.

Anggota kumpulan DeFam itu juga selesa sekiranya ada yang menegur dan memberikan komen terhadap lakonannya.

“Tegurlah saya sekiranya ada kekurangan dan kelemahan dalam lakonan.

“Sejak dulu lagi, kalau ada yang menegur, saya akan lihat secara positif dan betulkan mana yang kurang,” katanya.

Mungkin ramai tidak tahu Azira memahat impian untuk terbabit dalam pementasan teater.

“Saya sangat berminat dalam pementasan teater, namun sehingga kini belum ada tawaran. Kalau ada, saya mahu cuba nasib.

“Kalau tanya karakter idaman, saya mahu tampil sebagai pesakit mental kerana ia menuntut pelakon banyak bermain dengan emosi dan ekspresi wajah,” katanya.

Ditanya mengenai kerjaya muzik bersama DeFam, pengacara program Pop TV dan Pop Express ini berkongsi beberapa perkembangan terbaru kumpulan itu.

“Insya-Allah, dalam tahun ini DeFam akan keluarkan single keempat dan ia dalam bahasa Malaysia sepenuhnya. Judulnya masih dirahsiakan.

“Lagu sudah siap dan rakaman demo juga sudah selesai. Tinggal tunggu lampu hijau daripada penerbit yang berpangkalan di Singapura,” katanya.

Selain itu, Azira bersama dua anggota DeFam iaitu Sophia dan Manggis akan muncul dalam drama bersiri Vila Ghazara yang akan ditayangkan di slot Akasia.

“Ini adalah kali pertama kami bertiga disatukan dalam satu drama. Soal keserasian kami tak risau sebab sudah lama kenal dan tahu hati budi masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2018 @ 7:24am
d