utama

Mampu ganti Kumar

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen tetap berpuas hati dengan pencapaian dua penjaga gol negara, Hafizuddin Othman dan Hairi Rahman pada Piala Sultan Azlan Shah yang berakhir di Ipoh kelmarin.

Meskipun tidak mampu menyamai kehebatan penjaga gol utama negara, S Kumar yang sedang berdepan hukuman penggantungan sementara, Stephen yakin kedua-duanya boleh diberi kepercayaan untuk beraksi pada temasya Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April depan.

Ketika ini, Kumar diketepikan sementara selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang sibutramine pada Piala Asia di Dhaka, Bangladesh tahun lalu.

Sudah pasti Kumar tidak akan beraksi di Gold Coast kerana sedang menunggu tarikh sesi pendengaran daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

“Bagi saya, kedua-dua penjaga gol negara sudah mempamerkan prestasi terbaik mereka. Tak dapat dinafikan mereka juga ada melakukan kesilapan mudah.

“Tapi inilah matlamat asal yang saya mahukan daripada kejohanan ini, iaitu mereka perlu mendapat pendedahan sebanyak mungkin dan kemudian belajar daripada segala kesilapan itu,” katanya.

Jelas Stephen, beliau percaya kedua-dua penjaga gol negara itu dapat memperbaiki prestasi mereka jika terus diberi peluang beraksi di kejohanan besar.

“Daripada segala pengalaman itulah mereka kemudian akan menjadi lebih baik. Secara keseluruhan, walaupun kecewa gagal melangkah ke final dan juga menduduki tempat ketiga, saya rasa setiap pemain yang beraksi sudah memberikan segala-galanya,” katanya.

Malaysian Tigers menamatkan saingan Piala Sultan Azlan Shah dengan menduduki tempat keempat selepas tewas 2-3 kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Argentina dalam aksi penentuan tempat ketiga-keempat kelmarin.

Stephen nyata mengotakan janjinya apabila Hairi dan Hafizuddin diberi peluang sama rata untuk turun beraksi pada Piala Sultan Azlan Shah sehinggakan tiada jurang yang besar antara mereka.

Mengulas mengenai pemain yang akan menggalas tugas ke Sukan Komanwel, Stephen tidak menolak untuk melakukan rombakan kecil.

“Saya perlu melihat kepada situasi beberapa pemain yang cedera dan tidak dapat beraksi di Piala Sultan Azlan Shah. Antaranya kapten, Sukri (Abdul Mutalib). Saya mempunyai masa kurang dua minggu untuk melakukan penilaian semula ke atas semua pemain,” katanya.

Skuad negara akan berlepas ke Gold Coast pada 26 Mac ini.

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 7:22am
d