utama

Tampil lebih santai

Oleh HM Digital

Menggalas tanggungjawab sebagai salah seorang hos dalam program baharu berjudul Borak Kopitiam, Hefny Sahad tidak menganggap dirinya mempunyai kelebihan walaupun sudah berpengalaman mengendalikan bual bicara secara langsung.

Katanya, setiap hos yang dipilih mengemudi rancangan televisyen itu mempunyai latar belakang berbeza dari segi pengacaraan. Masing-masing ada keistimewaan dan mereka sebenarnya saling melengkapi.

Menyentuh soal keserasian, Hefny percaya, perkara itu akan datang perlahan-lahan. Semakin kerap bertemu, ia akan membentuk persefahaman secara semula jadi sekali gus membantu melancarkan lagi perjalanan program berkenaan.

“Episod pertama dan kedua mungkin agak sukar sedikit kerana ada empat hos yang digandingkan bersama. Dua episod yang sudah ditayangkan pada Jumaat dan Sabtu lalu adalah pengenalan.

“Ahad lalu, hanya dua hos mengendalikan program ini. Saya rasa tidak ada masalah soal keserasian kerana ia akan datang dengan sendirinya.

“Ketika itu, masing-masing akan belajar perwatakan sesama sendiri sekali gus mewujudkan keserasian ketika mengendalikan Borak Kopitiam. Saya anggap pembabitan dalam program ini peluang meneroka bidang pengacaraan dengan lebih luas,” katanya.

Pengacara Muzik-Muzik 32 itu menerima baik tawaran menyertai Borak Kopitiam kerana ia kali pertama dia akan mengemudi bual bicara bercorak gaya hidup dan bersiaran secara langsung seawal jam 7 pagi sehingga 9 pagi.

Dia dan rakan pengacara lain akan tampil lebih santai sama ada daripada sudut perkongsian maklumat mahupun pemakaian sesuai dengan konsep program berkenaan yang menyasarkan golongan muda sebagai penonton.

“Saya tidak pernah mengacarakan program bercorak ‘life style’ dan secara langsung pada awal pagi. Sebab itulah saya menerima tawaran ini.

“Saya pernah menjadi hos untuk beberapa program lain. Walaupun santai, tetapi masih perlu memakai sut. Untuk Borak Kopitiam, saya hanya perlu tampil kemas,” katanya.

Walaupun Borak Kopitiam sebuah program baharu, Hefny yakin ia akan mendapat sambutan daripada penonton.

Setiap segmen yang diselitkan dalam Borak Kopitiam adalah perkara yang menjadi minat anak muda pada masa ini. Pastinya ia akan menarik golongan berkenaan untuk terus mengikuti rancangan itu.

“Saya percaya ada penonton yang akan jadi peminat dan mengikuti setiap episod Borak Kopitiam. Bagaimanapun, perlu kerja keras untuk beberapa episod untuk tarik perhatian penonton,” katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2018 @ 7:14am
d