utama

Siapa buat Sherry marah ni?

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON, Sherry Ibrahim kini menanti jawapan berserta alasan daripada satu jenama perancang perkahwinan yang menulis komen di Instagramnya, mempromosikan video majlis resepsi pelakon, Fattah Amin dan Fazura.

"Ini adalah buli siber dan saya memandang serius mengenainya. Saya membuka peluang kepada mereka untuk membuat permohonan maaf berserta alasan.

"Sekiranya tiada jawapan munasabah daripada mereka, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya kepada Harian Metro.

Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 35, berkata, dia berasa marah kerana komen sebegitu secara tak langsung akan membuka ruang untuk netizen melagakannya dengan artis yang berkaitan dengan video itu.

"Saya tak mahu nanti akan ada pihak yang melaga-lagakan saya dengan orang lain sedangkan saya tiada sebarang isu dengan mereka. Lagi pula, majlis dan video itu tiada kaitan dengan saya," katanya.

Sherry juga yakin bahawa itu bukanlah komen berbentuk 'spam', sebaliknya strategi pemasaran.

"Saya yakin bahawa tindakan mereka meninggalkan komen itu memang disengajakan. Kalau 'spam' atau komen automatik, mereka tidak boleh 'tag' nama saya di dalam komen.

"Kalau benar ini adalah strategi pemasaran mereka, saya bersimpati kepada mereka kerana menggunakan strategi murah sebegini untuk mempromosikan jenama sendiri.

"Lagi satu, kalau benar ia adalah 'spam' atau komen automatik, tak mungkin pagi ini komen itu sudah hilang dan dipadam oleh pihak mereka," katanya.

Tambah Sherry, seandainya yang menulis komen tersebut adalah pekerja mereka dan bukan pemilik sendiri, mereka perlu selidik terlebih dahulu.

"Saya tak peduli sekiranya yang menulis komen itu adalah pemilik atau pekerja mereka. Tetapi, pastikan mereka selidik terlebih dahulu latar belakang dan sejarah saya.

"Kata jenama besar dan gah. Takkan selepas menaja majlis serba gah, duit dah habis dan tak mampu beli iklan untuk pemasaran sehingga terpaksa dapatkan publisiti murahan sebegini?

"Saya bukanlah orang yang suka mencari pasal dan kongsikan benda sebegini. Tapi, kalau ada yang mencari pasal dengan saya, saya pandang serius dan akan ambil tindakan sepatutnya sebagai pengajaran," katanya.

Di Instagram, Sherry berkongsi keratan komen daripada jenama perancang perkahwinan itu dan beberapa keratan komen daripada netizen, rakan terdekat serta rakan artis yang menyelar tindakan itu.

Muat naik yang dikongsikan sekitar dua jam lalu itu menerima lebih 3,000 'like' di samping ratusan komen daripada netizen.

Disiarkan pada: March 13, 2018 @ 11:57am
d