utama

'Saya rasa seperti ditindas'

Oleh Norhayati Nordin

Baru lima tahun membina nama dalam bidang lakonan, Tash Yong, 28, mengakui dia makin ‘kepenatan’.

Ini kerana terdapat segelintir penggiat seni yang tidak telus dengan mewujudkan kroni termasuk menilai pengaruh di media sosial.

Tash atau nama sebenarnya Nur Natasha Shazlia Rosli berkata, persaingan dengan pelakon baru juga agak sengit kerana pakej diambil kira bukan sekadar bakat semata-mata.

“Sama ada pelakon baru itu boleh berlakon atau tidak, itu tidak penting. Asalkan pakej diri sudah lengkap dari hujung kepala hingga hujung kaki. Cukuplah dengan cantik dan menawan.

“Selain itu, bayaran untuk segelintir pelakon baru rendah berbanding mereka yang sudah ada pengalaman. Itu buat saya agak kecewa,” katanya.

Tash berkata, dia juga agak kecewa apabila peluang diberikan berdasarkan jumlah pengikut di Instagram, Twitter dan Facebook.

Menurut pelakon drama Dia di TV3 ini, alasan biasa yang diberi ialah pelakon baru itu dikatakan mampu menarik penonton untuk menaikkan ‘rating’ drama.

“Apabila difikirkan, saya memang kecewa. Saya berasa seperti ditindas. Perlukah untuk kekal pertaruh bakat dan berkarya dalam industri seni, saya harus ‘beli’ pengikut di media sosial?” kata anak kepada komposer Rosli Selasih ini.

Tash yang mula menceburi bidang lakonan menerusi telefilem Kerana Anggun arahan Aziz M Osman pada 2014 berkata, dia tahu dia akan dilabel sebagai lantang bersuara.

“Saya sekadar meluahkan apa yang dirasakan tidak adil kerana ada segelintir penggiat seni meletakkan bakat di belakang walaupun itu yang perlu diutamakan. Apatah lagi, penonton kini lebih bijak membuat penilaian.

“Saya juga sedar masih banyak kekurangan sebagai pelakon yang perlu diperbaiki tetapi kenalah diberi ruang dan peluang.

“Bagaimanapun, apabila pengaruh di media sosial turut dijadikan pengukur untuk dapatkan ruang dan peluang itu, ia dilihat tidak adil. Sampai bila perlu disogokkan netizen dengan video yang tular dan mungkin memalukan diri hanya untuk dapatkan peluang tawaran?,” katanya.

Tash berkata, dia masih waras untuk melakukan perkara dianggap kurang cerdik itu kerana enggan hati ibu bapa dan keluarganya terguris.

Memiliki darah kacukan Melayu dan Siam, Tash adalah pemegang Diploma Teater dari Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) malah berbakat dalam bidang tarian.

Antara drama pernah dibintangi Tash ialah Shhh.. I Love You, Menantu Tintong, Marhaban Ko Me Oi, Masam Manis, Hantu Punya Bos dan Raisha.

Kini, Tash sibuk di lokasi drama 13 episod, Ustazah Pencen untuk RTM. Selain itu, Tash juga akan muncul dengan telefilem Calon Menantu Bapak dan drama Geng Tadarus sebanyak 26 episod.

Jodoh belum sampai ‘seru’

Walaupun wanita seusianya sudah layak untuk mendirikan rumah tangga, Tash akui dia belum terfikir untuk ke fasa itu.

Tash berkata, dia pernah mengalami pengalaman putus cinta menbuatkan lebih berhati-hati untuk menjalin sebarang hubungan.

“Bukan tidak percaya kepada lelaki. Cuma, buat masa ini saya fikir belum sampai seru jodoh. Mungkin kena tumpu pada kerjaya dahulu.

“Lagipun, tahun ini saya bercadang meluaskan bakat dalam bidang nyanyian pula,”katanya.

Tash berkata, jika ada peluang dia mahu bekerjasama dengan bapanya.

“Saya yakin sentuhan abah yang masih berbisa dalam penciptaan lagu, namun, saya tidak mahu terburu-buru.

“Ditambah dengan pengalaman abah, saya tahu pasti ada lagu yang sesuai dengan vokal saya akan dicipta. Abah memang sangat teliti. Bukan dalam penghasilan melodi saja, tetapi sangat teliti dalam penulisan lirik yang berkesan,” katanya.

Tash berkata, disebabkan dia kini sibuk dengan penggambaran drama, jadi belum ada masa sesuai untuk berbincang dengan bapanya.

Dia yang menetap bersama rakan di Sri Hartamas, berkata, kini bapanya juga sibuk melakukan ubah suai kediaman keluarga mereka di Cheras, Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, saya rela menunggu abah selesaikan urusannya dulu. Ini kerana saya yakin dia tidak boleh didesak dalam berkarya jika mahu hasilkan lagu berkualiti,” katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2018 @ 6:55am
d