utama

13 rentung nahas bas

Istanbul: Seramai 13 orang termasuk kanak-kanak rentung apabila bas dinaiki mereka terbakar selepas bertembung dengan lori di Anatolia, utara Turki, hari ini.

Menurut laporan media Turki, 20 lagi cedera dalam kemalangan yang berlaku awal pagi, ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Istanbul ke Tokat, apabila ia melanggar lori di wilayah Corum.

Agensi berita Andalou melaporkan, bas berkenaan hangus sama sekali akibat terbakar sebaik melanggar lori yang diletak di tepi jalan.

Datuk Bandar tempatan, Hamza Karatas, berkata antara yang terbunuh ialah kanak-kanak.

Seorang penumpang yang cedera, Emine Gungor, berkata, hampir semua penumpang sedang tidur ketika kejadian.

“Saya tidak tidur kerana menjaga bayi apabila terdengar bunyi kuat dan tingkap bas pecah, manakala bas bergegar.

“Bahagian belakang bas mula terbakar,” katanya.

Menurutnya, seorang lelaki memecahkan tingkap dan dia bersama bayinya serta sebahagian penumpang berjaya keluar. - AFP

Disiarkan pada: March 14, 2018 @ 7:17am
d