utama

Hikmah di sebalik kejadian

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

KEBIMBANGAN Intan Liana Salleh berkenaan punca rezeki sekiranya diceraikan oleh suaminya, pemuzik, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude kini berakhir apabila menerima tawaran sebagai duta tudung jenama D'Herbs milik usahawan Datuk Aliff Syukri.

"Alhamdulillah, tawaran ini datang kira-kira seminggu lalu dan saya jadi duta untuk tujuh tudung yang mempunyai warna berbeza.

"Jenama ini kini dipromosi di Instagram saya dan mendapat sambutan hebat daripada pengguna," katanya kepada Harian Metro.

Biarpun popularitinya di mata netizen agak tinggi, Intan mengakui tidak tahu berkenaan jumlah pembayaran yang diterima kerana urusan ini dikendalikan oleh kakaknya, Roza Salleh.

"Maaf cakap saya tidak tahu menahu kerana segala-galanya diuruskan oleh Roza. Lega rasanya kerana apabila tandatangan kontrak, saya terus diberikan deposit.

"Sekurang-kurangnya saya ada duit poket untuk kegunaan sendiri kerana sewa rumah dan nafkah anak-anak iaitu Aris Muqri, 4, dan Ariq Muqri, 1, masih dibayar oleh Ude. Dia tidak mengabaikan tanggungjawabnya," katanya.

Selain bergelar duta tudung, Intan juga turut mengambil tawaran mempromosikan beberapa produk lain menerusi Instagramnya.

Intan mula mendapat perhatian masyarakat apabila suaminya berkahwin secara rahsia dengan pelakon Izreen Azminda pada 8 Ogos tahun lalu.

Perasaan simpati masyarakat terhadapnya memuncak apabila Ude mengambil keputusan meneruskan proses lafaz cerai terhadapnya pada 28 Februari lalu di Mahkamah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur selepas memfailkannya pada 30 November 2017.

Mengulas perkembangan terbaru rumah tangganya, Intan menyerahkan segala-galanya kepada Ude apabila kes disebut pada 22 Mac nanti.

"Saya serahkan segala-segalanya kepada Ude. Jika ditakdirkan jodoh kami tiada lagi, saya akur dan reda dengan ketentuan takdir," katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2018 @ 5:58pm
d