utama

Bergantung kepada peminat

Oleh HM Digital

Jika dulu, nama Siti Nordiana serasi dengan pasangan duetnya, Allahyarham Achik Spin, kini nama pelakon dan penyanyi Alif Satar dilihat cukup sinonim dengannya.

Sejak digandingkan dalam drama bersiri Dia Semanis Honey pada 2016, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana meneruskan keserasian mereka menerusi teater muzikal dengan judul sama.

Tidak cukup dengan itu, Nana turut menggunakan khidmat Alif sebagai pelakon dalam video muzik singlenya, Terus Mencintai.

Bagi Nana, dia sendiri pernah terfikir jika ada peminat yang mula bosan dengan gandingan mereka.

“Manalah tahu jika ada peminat yang mula bosan, tapi, alhamdulillah, mereka masih menerima gandingan kami,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan meletakkan masa tertentu sebelum mencipta fenomena menerusi gandingan dengan artis lelaki lain, Nana berkata, ia bergantung kepada peminat.

“Jika peminat masih mahukan kami berganding, saya akan teruskan. Saya tak ada meletakkan sebarang jangka masa,” katanya.

Selain itu, Nana juga sedang menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Pengantin Musim Salju yang turut menggandingkannya dengan Alif.

“Penggambaran bermula Februari lalu hingga Mei ini. Ia drama 20 episod dan saya dengan Alif juga menyanyikan lagu tema drama itu,” katanya.

Pada hujung Jun ini, Nana juga akan berganding dengan Alif dalam satu konsert di Singapura.

“Jika semuanya berjalan lancar, saya akan umumkan mengenainya nanti,” katanya.

Sementara itu, Nana turut tersenarai sebagai calon Top 5 dalam tiga kategori Anugerah MeleTop Era 2018 (AME2018) iaitu Hos MeleTop, Pelakon TV MeleTop dan Penyanyi MeleTop.

“Tahun lalu, rezeki menyebelahi saya dan menang kategori Penyanyi MeleTop. Tahun ini, saingannya lebih sengit dengan adanya bintang baru yang tentunya lebih ramai peminat,” katanya.

Terbaru, Nana hadir dengan single berjudul Hatiku Milikmu yang dihasilkan sendiri dan akan dilancarkan bulan depan. -Syafil Syazwan Jefri

Disiarkan pada: March 15, 2018 @ 7:08am
d