utama

Rakan bawa binasa

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: “Dengar nama kimoterapi pun saya takut, inikan pula jalani rawatannya sebab difahamkan penyakit jadi lebih teruk,” kata pesakit kanser payudara yang mahu dikenali sebagai Ina, 50.

Suri rumah itu berkata, dia hanya mengetahui menghidap penyakit itu ketika berusia 42 tahun ketika penyakitnya berada di tahap kedua.

Katanya, dia dinasihatkan rakan supaya tidak menjalani rawatan kimoterapi kerana dikhuatiri keadaan akan menjadi lebih teruk.

“Saya dimaklumkan saudara terdekat bahawa jarum boleh menyebabkan kanser merebak lebih cepat.

“Ketika itu saya tidak fikir panjang dan terus menjalani rawatan alternatif di beberapa lokasi di luar negeri yang dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit termasuk kanser tanpa ke hospital,” katanya.

Beliau berkata, dia berulang alik beberapa bulan ke sana dan hanya diberi air dibacakan doa serta sejenis daun.

Bagaimanapun, dia mendapati tiada perubahan berikutan luka di bahagian payudara semakin teruk dan merujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) serta terkejut dimaklumkan penyakit kanser payudaranya merebak ke tahap empat.

Ina yang mengakui menyesal kerana mengutamakan rawatan alternatif berbanding mendapatkan rawatan di hospital berkata, dia kini masih menjalani rawatan kimoterapi di HRPZ II dan berharap penyakit itu dapat sembuh.

Bagi Ros, 30, anak kepada seorang pesakit kanser payudara yang meninggal dunia awal tahun ini, kalau boleh diundurkan masa, arwah emaknya sepatutnya menjalani rawatan penuh di hospital.

Ros yang tinggal di Kota Bharu berkata, ibunya berusia 55 tahun disahkan menghidap kanser payudara pada tahap tiga ketika membuat pemeriksaan di hospital berhampiran, dua tahun lalu.

“Pada mulanya ketika pemeriksaan awal di hospital, doktor mengambil sampel payudara namun selepas luka semakin teruk kami mencuba rawatan alternatif dengan menangguhkan beberapa bulan rawatan di hospital.

“Sebut saja di mana, kami pergi tanpa memikirkan kosnya kerana hanya mahu pastikan mak sembuh.

“Namun keadaan mak semakin teruk apabila semakin hilang selera makan, sesak nafas, kedua-dua tangan membengkak dan memerlukan kerusi roda untuk bergerak,” katanya.

Dia berkata, melihat keadaan ibunya yang semakin teruk, mereka sekeluarga merujuknya ke hospital.

“Mak sempat jalani lima kali rawatan kemoterapi namun keadaan kesihatannya semakin merosot kerana kanser merebak sebelum meninggal dunia,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga terkesan dengan pemergian ibunya.

“Kami sekeluarga reda kerana ketentuan Ilahi. Namun jauh di sudut hati, saya berasa terkilan kerana tidak dapat membantu menyediakan rawatan terbaik untuk mak.

“Harapan saya kisah ini dapat jadi pengajaran kepada orang lain,” katanya.

Bagi seorang penjawat awam, Norhayati Md Zain, 41, berkata, pada mulanya dia menjalani pemeriksaan percuma di hospital sebelum dimaklumkan dia menghidap kanser payudara tahap tiga.

“Luluh hati sebaik dimaklumkan perkara itu, malah suami dan anak terkejut kerana saya tidak menunjukkan sebarang tanda menghidap penyakit.

“Ada orang mencadangkan saya menjalani rawatan alternatif namun saya menolak kerana yakin dengan rawatan hospital,” katanya.

Mitos karut dari keluarga

Kota Bharu: Kepercayaan karut kepada mitos disampaikan ahli keluarga seperti payudara tidak boleh terkena benda tajam kononnya kanser akan merebak antara faktor mempengaruhi pengidap penyakit maut ini takut mendapatkan rawatan di hospital.

Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata, faktor berkenaan antara penyebab 54 peratus pesakit kanser payudara tahap tiga dan empat di Kelantan lebih mempercayai rawatan alternatif berbanding merujuk hospital, sekali gus meningkatkan risiko kematian.

“Ada juga pesakit saya percaya dengan hanya minum jus durian belanda, air herba dan produk kesihatan, kanser akan pulih. Mereka salah faham mengenai perkara ini, sedangkan ia untuk kesihatan bukan untuk merawat kanser.

“Pandangan ini kebiasaannya diberi ahli keluarga dan rakan sehingga mereka sanggup menahan sakit daripada dirawat di hospital,” katanya.

Menurutnya, pesakit lebih gemar memilih rawatan alternatif seperti berbekam, minuman herba, homeopati atau khidmat bomoh kerana kurang yakin dan mempunyai tanggapan salah terhadap rawatan di hospital.

“Situasi ini menyebabkan mereka lambat mendapat rawatan di hospital dan hanya selepas keadaan sudah teruk baru mereka rujuk kepada hospital.

“Di peringkat ini, risiko penyakit lebih tinggi termasuk kanser merebak dan lebih serius,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak menghalang pesakit mendapatkan rawatan alternatif namun keutamaan harus diberi kepada rawatan di hospital.

“Sebagai pengamal perubatan, saya tidak menghalang pesakit menjalani rawatan alternatif sebagai usaha tambahan mereka untuk merawat penyakit itu. Namun apa yang saya bimbang, pesakit abaikan rawatan di hospital,” katanya.

Imi Sairi berkata, HRPZ dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjalankan pelbagai program untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

Disiarkan pada: March 15, 2018 @ 7:59am
d