utama

Selamat tinggal Sungai Besi [METROTV]

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

PANGLIMA Tentera Udara (PTU) Jeneral Tan Sri Affendi Buang menyifatkan pemindahan operasi Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL) di Jalan Lapangan Terbang Lama, Sungai Besi ke Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan sebagai pemindahan penuh emosi antara sedih dan gembira.

Ini lantaran pangkalan udara berkenaan mempunyai nilai sejarah buat warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bermula sebagai satu cabang perkhidmatan yang bertindak sebagai unit pengangkut, kini bertindak sebagai cabang pertahanan udara negara.

"Dalam aspek sejarah, memang Pangkalan Udara Kuala Lumpur ini penuh nostalgia. Ini kerana, dengan kewujudan pangkalan udara ini, maka wujudlah TUDM.

"Malah, menerusi pangkalan udara ini juga sudah banyak digerakkan pelbagai operasi serta misi bantuan, menyelamat serta pertahanan negara bagi mengekang anasir jahat," katanya kepada media selepas menyempurnakan Upacara Penyerahan Bendera Pangkalan Udara Sendayan kepada Komander Pangkalan Udara Sendayan, Kolonel Mohamad Noh Daim dalam upacara Perbarisan Perpindahan Permulaan Pangkalan Udara Kuala Lumpur, petang tadi.

Menurutnya, biarpun nilai sejarah itu menjadikan PUKL mempunyai nilai yang sangat berharga, namun sejajar dengan keperluan serta modenisasi TUDM, pihaknya gembira apabila ia dipindahkan ke Pangkalan Udara Sendayan yang dilengkapi dengan pelbagai fasiliti lengkap serta terkini.

"Kita sedar mengenai pentingnya perpindahan operasi ini, lantaran itu biarpun sedih, kami juga gembira kerana warga PUKL akhirnya bakal menikmati kemudahan lebih lengkap.

"Malah, kita berharap bahawa operasi TUDM juga dapat dilaksanakan dengan lebih mantap lagi," katanya.

Sementara itu, bekas PTU, Leftenan Jeneral Tan Sri Mohd yunus Tasi yang juga pernah menjadi pegawai memerintah PUKL mengakui upacara yang disertai itu mengimbau banyak kenangan yang tidak dapat dilupakannya.

Antara kenangan itu termasuklah ketika PUKL diserang oleh komunis menggunakan mortar pada waktu sekitar 1974.

"Saya masih ingat waktu itu kawasan PUKL dipenuhi hutan disekelilinginya. Tiba-tiba, komunis melancarkan dua serangan pada lewat petang dan malam.

"Biarpun tiada yang cedera, namun serangan itu menyebabkan sebuah pesawat mengalami kerosakan ringan pada bahagian sayap. Itu antara insiden yang saya tak dapat lupakan sehingga kini," katanya.

Bermula sebagai Pangkalan Udara RAF

Hari ini, selepas hampir 77 tahun beroperasi PUKL yang dikendalikan oleh TUDM sejak 1941 secara rasminya memulakan operasi pemindahan.

Pemindahan operasi itu diadakan menerusi upacara Perbarisan Perpindahan Permulaan Pangkalan Udara Kuala Lumpur serta Upacara Penyerahan Bendera Pangkalan Udara Sendayan oleh Affendi Buang kepada Komander Pangkalan Udara Sendayan, Kolonel Mohamad Noh Daim.

Upacara petang tadi turut disaksikan oleh Affandi dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad.

Pangkalan Udara Kuala Lumpur adalah Pangkalan Udara Pertama Tentera Udara Diraja British (RAF) di negara ini yang memulakan operasi pada 1 Jun 1941.

Kemudian, ia menjadi Pangkalan Udara bagi Tentera Udara Diraja Persekutuan (TUDP) pada 2 Jun 1958.

Kerajaan British kemudian secara rasminya menyerahkan pangkalan ini kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada 25 Oktober 1960 bagi kegunaan TUDP yang kini dikenali sebagai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Malah, bermula semalam TUDM memulakan perpindahan operasinya dari Pangkalan Udara Kuala Lumpur ke Pangkalan Udara Sendayan.

Disiarkan pada: March 15, 2018 @ 9:46pm
d