utama

Wani tak ambil pusing

Oleh Ardini Sophia Sina

Lebih seminggu klip video lagu Ewah Ewah dimuat naik ke YouTube, penyanyi Wany Hasrita lega dengan maklum balas positif dan sokongan yang diterima daripada umum.

Lebih membanggakan apabila video muzik single genre etnik kreatif itu kini di tempat kedua. Walaupun ada yang memuji, Wany tidak dapat mengelak daripada menerima kecaman segelintir pihak.

Bagaimanapun, Wany mengabaikan mana-mana komen negatif yang tidak memberikan sebarang kebaikan buat dirinya.

Namun, wanita berusia 26 tahun itu menerima baik maklum balas individu yang berkongsi cadangan untuk memperbaiki lagi mutu nyanyian untuk genre itu.

“Ini adalah cubaan pertama saya menyanyikan lagu etnik kreatif. Sudah tentu banyak lagi perkara yang perlu saya perbaiki. Saya akui, apabila mendengar lagu ini, saya sendiri rasakan ada banyak lagi yang perlu ditingkatkan.

“Apa pun, saya bersyukur kerana ia diterima baik. Terima kasih kepada mereka yang memberikan cadangan, sokongan dan pujian terhadap lagu ini. Saya menghargai setiap komen membina daripada pendengar.

“Saya tidak boleh mengelak dibandingkan dengan penyanyi lagu etnik kreatif sedia ada dan tidak akan berputus asa. Saya akan terus menyanyikan lagu genre ini,” katanya.

Bakal muncul dengan lagu raya hasil ciptaan Pak Ngah, Wany berkata, dia gembira kerana menjadi seorang penyanyi yang akan cuba menghidupkan semula genre etnik kreatif khususnya irama Malaysia.

Kata Wany, dia sendiri sangat meminati lenggok lagu Melayu dan ia menjadi pemangkin semangat agar terus muncul dengan lagu etnik kreatif. Dia yakin, pembabitan berterusan akan mendedahkan dia dengan ilmu genre itu.

“Kalau perasan, Noraniza Idris ada menggunakan #saveiramamalaysia sebagai kempen agar lagu genre sebegini dihidupkan semula dalam industri muzik tanah air.

“Saya terharu dan gembira kerana menjadi salah seorang yang berjuang untuk menempatkan kembali genre ini. Saya yakin, masih ada pendengar yang rindu dan ingin mendengar lagu etnik kreatif.

“Insya-Allah, saya ada perancangan untuk terus muncul dengan lagu irama Malaysia kerana saya sendiri menyukai lenggok lagu Melayu. Apabila sentiasa muncul dengan lagu sebegini, saya dapat mendalami ilmu lagu Melayu,” katanya.

Disiarkan pada: March 17, 2018 @ 6:26am
d